DUNIA

Sesi Dialog Di Beijing Tumpu Tadbir Urus Global, Kemakmuran Asia Pasifik

27/10/2025 07:19 PM

BEIJING, 27 Okt (Bernama-CMG) -- Menjelang keberangkatan Presiden China, Xi Jinping ke Gyeongju, Korea Selatan bagi menghadiri Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin APEC ke-32 dan melakukan lawatan rasmi ke negara itu, satu sesi dialog bertajuk “Tadbir Urus Global dan Kemakmuran Bersama Asia Pasifik” telah diadakan di Beijing baru-baru ini. 

Program itu dianjurkan bersama Kumpulan Media China (CMG), Universiti Yonsei dan Stesen Televisyen YTN Korea Selatan.

Presiden CMG, Shen Haixiong dalam ucapan videonya berkata Sidang Pleno Keempat Jawatankuasa Pusat penggal ke-20 Parti Komunis China (PKC) yang melabuhkan tirainya di Beijing baru-baru ini telah menggariskan hala tuju pembangunan domestik berkualiti tinggi untuk tempoh lima tahun akan datang. 

Beliau yakin dasar itu akan membuka lebih banyak peluang bagi pembangunan lestari dan kemakmuran bersama di rantau Asia Pasifik.

Menurut beliau, CMG bersedia bersama-sama dengan rakan serantau untuk memperdalam kerjasama, membina naratif tentang kolaborasi, menambah elemen baharu ke dalam pertukaran sosiobudaya dan memajukan dialog, sekali gus menyumbangkan kebijaksanaan dan kekuatan masing-masing bagi menambahbaik tadbir urus global. 

Ketua Majlis China bagi Promosi Perdagangan Antarabangsa (CCPIT) Ren Hongbin, pula menegaskan kesediaan pihaknya bekerjasama dengan komuniti perniagaan antarabangsa bagi melaksanakan Visi APEC Putrajaya 2040 secara menyeluruh, mendorong pembentukan komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, kukuh dan aman serta menyuntik tenaga positif ke arah kemakmuran serantau.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dalam ucapannya menegaskan bahawa peraturan, kepercayaan dan keterangkuman merupakan prasyarat utama untuk mencapai kemakmuran bersama,  bertepatan dengan "tadbir urus global dan kemakmuran bersama Asia Pasifik" yang diangkat sebagai tema sesi dialog itu.

"Di bawah tata tertib yang adil dan rasional, semua negara baik kuasa besar mahupun kuasa kecil boleh bertindak meraikan pendapat berbeza dan menyelesaikan pertelagahan secara damai, sama rata dan saling menghormati," kata beliau.

Sementara itu, keputusan tinjauan pendapat umum global "Kemakmuran Asia Pasifik, Kekuatan China" tajaan Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) juga disiarkan pada acara itu. 

Hasil tinjauan mendapati 83.3 peratus responden memberi penilaian positif terhadap peranan APEC sebagai platform utama kerjasama ekonomi di Asia Pasifik, manakala 83.4 peratus lagi menghargai sumbangan China dalam memacu pembangunan lestari APEC.

-- BERNAMA-CMG

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483830