Dalam keadaan ekonomi yang kian mencabar, ramai dalam kalangan rakyat mengambil langkah menilai semula setiap sen yang dibelanjakan, memastikan kos yang dikeluarkan benar-benar perlu serta berbaloi.
Pemilikan insurans antara yang dilihat menjadi “korban” peningkatan kos sara hidup tersebut berikutan kenaikan kadar premium bermula tahun ini, dengan laporan media memetik ejen insurans dan takaful mengakui ramai pelanggan mereka membatalkan polisi masing-masing bagi mengurangkan beban perbelanjaan.
Kata mereka pelanggan mendedahkan tidak lagi mampu menanggung bayaran premium bulanan tersebut di samping melihat perlindungan insurans kurang penting berbanding keperluan asas lain.
Pada November lepas, Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Persatuan Takaful Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia mengumumkan kenaikan premium insurans perubatan antara 40 ke 70 peratus, bermula 2025.
Peningkatan premium itu didorong oleh kenaikan kos rawatan dan inflasi perubatan yang kian meningkat.
Yang menjadi persoalan, apakah benar pemilikan insurans tidak sepenting perkara lain mengambil kira situasi semasa?
PENINGKATAN KOS KESIHATAN
Mengulas isu itu, pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia Prof Dr Muhammad Ridhwan Ab. Aziz berkata insurans dan takaful berperanan membantu individu dalam menguruskan dan meminimumkan risiko yang dihadapi, bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi juga bahaya lain ketika melakukan aktiviti harian termasuk keluar bekerja.
Di Malaysia, industri insurans dan takaful dikawal selia menerusi beberapa akta termasuk Akta Insurans 1996, Akta Takaful 1984 dan Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang turut berfungsi melindungi kepentingan pengguna.
“Industri insurans dan takaful di negara ini berkembang pesat selari dengan peningkatan keperluan pengguna. Kedua-dua insurans dan takaful menawarkan perlindungan risiko kepada pengguna namun perbezaan utama ialah produk takaful patuh syariah dan alternatif terbaik kepada umat Islam yang mahu mengelakkan unsur-unsur riba khususnya.
“Dari segi lain tidak begitu banyak perbezaannya, kerana kedua-dua produk ini memastikan pemegang polisi memperoleh sejumlah pampasan jika mengalami insiden atau jatuh sakit termasuk kematian, bergantung pada syarat-syarat polisi, sekali gus menjadikan insurans dan takaful sebagai satu keperluan dalam masyarakat moden,” jelasnya kepada Bernama.
Bagaimanapun katanya masyarakat mula menimbang semula keperluan pemilikan insurans dan takaful susulan peningkatan kadar premium, terutama dalam kalangan mereka yang telah lama menyumbang namun tidak pernah membuat tuntutan.
“Kenaikan premium ini berpunca daripada terutamanya peningkatan kos sektor penjagaan kesihatan meliputi rawatan dan ubat-ubatan, iaitu sesuatu yang tidak dapat dielakkan seiring dengan perkembangan teknologi perubatan itu sendiri. Justeru, tidak wajar untuk kita salahkan penyedia insurans semata-mata.
“Harus diingat, mereka juga terikat dengan akta dan undang-undang yang jelas dengan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pengawal selia,” katanya.
Baru-baru ini Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata peningkatan berterusan inflasi kos perubatan menyebabkan kadar tuntutan insurans serta takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) semakin meningkat.
Justeru, dalam usaha mengurangkan beban pengguna, Amir Hamzah berkata kerajaan melalui Kementerian Kesihatan akan mengutamakan reformasi kesihatan yang menyeluruh untuk menangani isu inflasi kos perubatan dan caj di hospital swasta.
MENGIMBANGI PERLINDUNGAN DAN KEMAMPUAN
Mengambil kira situasi semasa, Muhammad Ridhwan menyifatkan perlindungan yang disediakan pihak insurans dan pengendali takaful ketika ini adalah munasabah dan sesuai dengan bayaran caruman yang dikenakan kepada pelanggan masing-masing.
Beliau berkata ada penyedia insurans dan takaful yang terpaksa menaikkan bayaran premium bagi meningkatkan dana produk insurans berkaitan perubatan, disebabkan oleh kos rawatan penyakit tertentu yang kian tinggi dan mengambil masa lama.
“Misalnya rawatan bagi penyakit kanser yang kebiasaannya memerlukan rawatan rapi selain tempoh rawatan adalah dua ke tiga tahun. Kita berasakan caruman insurans ataupun takaful itu adalah berbaloi dengan rawatan penyakit sedemikian.
“Hakikatnya, insurans dan takaful ini diwujudkan sebagai perlindungan kewangan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga keluarga. Ramai beranggapan insurans hanya relevan apabila seseorang jatuh sakit atau terlibat dalam kemalangan, sedangkan instrumen ini meringankan beban kewangan keluarga apabila musibah berlaku tanpa kita perlu mengorbankan simpanan sedia ada,’’ katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Ridhwan berkata bagi menghadapi kenaikan premium tersebut, pemegang polisi perlu bijak menilai dan memilih pelan insurans mengikut kemampuan dan keperluan sebenar.
Malah katanya ada syarikat menawarkan perundingan semula bagi memastikan pemegang polisi tidak terbeban dengan peningkatan premium itu.
Beliau berkata dalam hal itu, penyedia insurans dan takaful serta ejen mereka boleh memainkan peranan membantu pemegang polisi membuat pilihan bijak dalam situasi menang-menang.
Jelasnya, golongan M40 mungkin akan mengalami kesan sementara atas kenaikan berkenaan terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga yang agak ramai.
‘’Di sinilah perlunya kemahiran agen takaful yang tinggi bagi menawarkan perkhidmatan yang paling sesuai kepada golongan M40 dan ahli keluarganya dan bukan mencadangkan kadar bayaran yang tidak munasabah dan perkhidmatan yang kurang perlu kepada golongan ini.
“Bagi saya, membatalkan skim yang telah disertai (sejak sekian lama) mungkin satu tindakan yang agak kurang bijak memandangkan kehidupan seharian kita yang terdedah kepada pelbagai risiko dan bahaya,’’katanya.
Tambahnya, agen juga boleh memainkan peranan untuk menilai kembali bayaran bulanan yang perlu dan mampu dibayar oleh golongan yang kurang berkemampuan yang mungkin memberikan kesan yang agak besar bagi perbelanjaan bulanan mereka jika tidak ditangani dengan baik.
‘’Pelanggan seharusnya membaca, memahami dan bertanya kepada agen berkenaan kandungan mana-mana skim perlindungan sebelum menandatangani sesuatu polisi insurans atau takaful tersebut.
“Mungkin pelanggan juga boleh menilai kembali perlindungan apa yang amat diperlukan dan yang perlu dikekalkan mengikut kemampuan kewangan masing-masing tanpa membatalkan keseluruhan caruman mereka,” katanya.
PERLU MAMPU MILIK
Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Dr Azreen Roslan berkata melihat pada situasi semasa dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dan juga perubahan iklim yang membawa pelbagai bencana, insurans perubatan dan takaful adalah satu keperluan.
“Insurans (dan takaful) ketika ini bukan sekadar dokumen polisi tetapi ‘tiket’ yang boleh membantu seseorang berjuang untuk sembuh (daripada penyakit atau kecederaan akibat kemalangan) tanpa perlu risau dengan kemampuan kewangan.
“Dalam ekonomi yang tidak menentu, kehilangan pendapatan atau simpanan akibat kemalangan, kematian atau penyakit kritikal adalah situasi yang lebih teruk. Contohnya, sebuah keluarga yang sudah terhimpit tidak mampu menanggung kos perubatan RM100,000 atau kehilangan pencari nafkah utama.
“Insurans atau takaful inilah akan bertindak sebagai perisai yang mencegah satu krisis, misalnya kehilangan kerja, daripada menjadi ‘bencana’ (kewangan) apabila kita hilang simpanan atau terpaksa meminjam untuk membayar bil hospital yang tinggi,’’ katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui pengguna juga harus menterjemahkan keperluan itu secara realistik bergantung pada kemampuan kewangan mereka.
Dalam konteks ini, beliau berkata pihak industri harus memainkan peranan dengan memastikan sistem perlindungan yang ditawarkan mereka kekal inklusif dan masih mesra poket pengguna di sebalik kenaikan premium itu.
Menurut Azreen, BNM sebagai institusi yang bertanggungjawab terhadap pengawalan dan penyeliaan penanggung insurans dan pengendali takaful, perlu memainkan peranan proaktif bagi memastikan penyedia insurans dan takaful menetapkan premium yang telus agar rakyat tidak terbeban.
KAWALAN SEDIA ADA
Menurut Azreen, undang-undang sedia ada tidak membenarkan syarikat insurans dan pengendali takaful menaikkan premium polisi mereka sesuka hati.
Semua syarikat berkenaan perlu mematuhi garis panduan dan kerangka kawal selia yang ditetapkan BNM, termasuk Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang melindungi kepentingan pelanggan.
Menerusi akta itu, selain mengamalkan perniagaan yang adil, setiap syarikat juga perlu mempunyai proses dalaman yang cekap untuk mengendalikan sebarang aduan pelanggan.
“Syarikat insurans dan takaful mesti mempunyai dasar penilaian risiko yang telus. Kenaikan premium mesti berasaskan data dan justifikasi risiko yang kukuh, bukan secara sesuka hati.
“Hal ini dibuktikan dengan penyataan bahawa BNM, Perbendaharaan serta Kementerian Kesihatan sedang meneliti dan merangka panduan tegas untuk memastikan syarikat insurans dan pengendali takaful mengambil kira pelbagai aspek sebelum menaikkan sebarang premium,’’ katanya.
Pada Ogos lepas, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dipetik media sebagai berkata kerajaan sedang melaksanakan lima teras utama dan 11 cadangan yang bermatlamat menambah baik perkhidmatan perubatan, meningkatkan pelaksanaan serta menangani kenaikan kos premium insurans kesihatan.
Langkah-langkah itu termasuk merombak semula produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan selain menambah baik produk asas yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini.
Abdul Rasheed berkata usaha itu dijangka dapat mengurangkan kos pembayaran dan memastikan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan.
-- BERNAMA