Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan selain menangani isu-isu utama serantau menjadi tumpuan perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang pada mesyuarat dua hala di sini pagi ini.
Difahamkan bahawa perbincangan tertutup selama 15 minit itu turut menyentuh isu-isu serantau, dengan China menyatakan sokongannya terhadap usaha damai berkaitan situasi di sempadan Kemboja-Thailand serta krisis yang berterusan di Myanmar.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan pelbagai inisiatif yang bertujuan meningkatkan perdagangan dan pelaburan, terutamanya dalam sektor automotif dan teknologi tinggi, termasuk pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.
Mesyuarat itu turut membincangkan isu berkaitan jaringan infrastruktur termasuk peluasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang serta dalam bidang penting seperti unsur nadir bumi (REE), projek saluran paip air Perak-Pulau Pinang dan industri halal.
Kerjasama dalam sektor pelancongan dan mobiliti rakyat turut diketengahkan selain usaha meningkatkan kesalinghubungan udara dengan menarik lebih banyak penerbangan kargo dari China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mereka turut membincangkan kerjasama dalam industri semikonduktor dan mengekalkan sokongan untuk inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG).
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mengalu-alukan penyertaan China dalam memacu APG untuk menggalakkan kerjasama tenaga mampan di rantau ini.
Mengenai ekonomi digital, Malaysia mempelawa syarikat teknologi terkemuka China untuk memperluas kedudukan dan pelaburan mereka di Malaysia, selain menggalakkan syarikat baharu untuk mewujudkan operasi serantau di negara ini.
Terdahulu, Anwar dalam ucapan berkata, “Anda telah berkunjung ke Malaysia banyak kali, begitu juga saya ke China. Saya menghargai penyertaan anda, ia amat bermakna kepada Malaysia dan ASEAN. Saya fikir kita akan memberi tumpuan kepada isu dua hala hari ini.”
“Dan terima kasih atas jemputan Presiden Xi Jinping untuk ulang tahun ke-80 China dan saya berharap dapat bertemu dengannya di Korea Selatan dalam beberapa hari ini,” kata beliau.
Sementara itu, dalam media sosial rasmi beliau, Anwar berkata pertemuan ini mengukuhkan lagi persahabatan erat Malaysia-China yang berteraskan kepercayaan dan saling menghormati, menjadi simbol hubungan dua hala yang semakin kukuh dan berpaksikan kestabilan serantau.
“Perbincangan kami tertumpu kepada pengukuhan perdagangan dan pelaburan dua hala. Malaysia komited memperluas eksport bernilai tinggi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, perubatan, tenaga boleh baharu serta minyak dan gas di bawah kerangka Pelan Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI),” kata beliau.
Beliau berkata kerjasama pelabuhan antara Malaysia dan China yang bakal memperkukuh kedudukan negara sebagai hab logistik dan maritim serantau turut dibincangkan.
Anwar berkata Malaysia juga mengalu-alukan pelaburan berterusan syarikat China dalam bidang digital, semikonduktor dan teknologi hijau, seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi hab inovasi utama ASEAN.
Turut hadir pada mesyuarat dua hala itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan timbalannya, Liew Chin Tong serta Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Li Qiang turut menghadiri majlis menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) yang dinaik taraf, diikuti Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28 pagi ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang diadakan selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini di bawah tema Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan,” telah menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan dan pemimpin dari lebih 30 buah negara dan organisasi antarabangsa untuk meningkatkan kerjasama serantau.
-- BERNAMA