AM

SejaTi MADANI: Projek Mekanisasi Ladang Bantu JKKR Felda Chiku 7 Tingkat Produktiviti

27/10/2025 02:26 PM

GUA MUSANG, 27 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Chiku 7 di sini mampu meraih hampir RM4,000 sebulan menerusi projek mekanisasi ladang menggunakan jentera traktor di bawah inisiatif Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

Ketua Peneroka Felda Chiku 7 Razali Awang Mohamed Hanapiah, 65, berkata projek berkenaan memberi peluang kepada penduduk memperkasa pendapatan hiliran dan meningkatkan produktiviti ladang dengan menggunakan peruntukan RM100,000  yang disalurkan kira-kira enam bulan lepas.

Beliau berkata penggunaan teknologi moden itu amat efektif malah pihaknya dijangka meraih pendapatan hingga RM48,000 setahun sekiranya ia dimanfaatkan dengan baik.

"Kami menerima dana RM100,000 bagi pembelian dua traktor jenis Kubota untuk digunakan bagi mengurangkan beban tenaga serta menjimatkan masa ketika menjalankan kerja ladang seperti mengangkut buah sawit atau anak benih, menggali lubang serta meratakan tanah. 

"Selain itu, untuk meningkatkan ekonomi kami membuat sewaan traktor kepada mana-mana pihak yang ingin menggunakannya. Pendapatan yang diperoleh diagihkan semula kepada ahli dalam bentuk penganjuran program kebajikan, keceriaan serta pembangunan di Felda Chiku 7," katanya ketika ditemui pemberita di Felda Chiku 7 di sini hari ini.

Peneroka, Noor Asmani Jusoh, 63, berkata projek mekanisasi ladang ini memainkan peranan besar kerana kebanyakan daripada penduduk di Felda itu merupakan warga emas.

"Sebagai contoh, pada hari ini kami menggunakan traktor untuk mengangkut lebih 100 benih pokok buah celagi bagi tujuan menaik taraf landskap kampung. 

"Dengan menggunakan jentera ini kerja yang menggunakan banyak tenaga dan mengambil masa lama menjadi lebih mudah serta pantas. Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana mewujudkan insiatif SejaTi MADANI bagi membantu penduduk," katanya. 

Pengurus Felda Chiku 7, Mohd Qasidinoor Mohd Asri, 40, pula berkata projek mekanisasi ladang ini akan dipantau dengan rapi bagi memastikan dana yang diterima dapat dimanfaatkan sebaiknya. 

"SejaTi MADANI menggalakkan peneroka berusaha mewujudkan cabang pendapatan hiliran dan tidak mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan semata-mata. Kita berharap usaha ini akan terus berkembang pada masa depan," katanya.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483832