KUANTAN, 27 Okt (Bernama) -- Dua pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah keseluruhan lebih RM100,000 sebagai upah memproses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.
Irfan Syafiq Hafizi Mohd Riduan, 30, dan Nurul Hidyatul Asyikin Zolkeple, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, Irfan Syafiq Hafizi yang bekerja sebagai pegawai pemasaran sebuah bank di Damansara, Selangor didakwa dengan 14 pertuduhan selepas menerima wang berjumlah RM99,030.22 secara pindahan dalam talian ke dalam akaun bank milik peribadi daripada beberapa akaun individu dan syarikat.
Ia sebagai upah untuk dirinya kerana membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan sebuah syarikat serentak dengan permohonan pinjaman peribadi pelanggan di beberapa institusi kewangan lain menyebabkan pelanggan berkenaan mempunyai beberapa pinjaman peribadi melebihi had kelayakan.
Dia didakwa melakukan melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Kuantan dari 6 Jun 2023 hingga 6 Dis 2024.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Selain itu, Nurul Hidyatul Asyikin didakwa dengan empat pertuduhan rasuah berjumlah RM10,802.51.
Berdasarkan pertuduhan, dia yang ketika itu bertugas sebagai Eksekutif Pembiayaan Pengguna di sebuah bank di Bandar Baru Bangi, Selangor didakwa secara rasuah menerima RM10,802.51 daripada akaun seorang lelaki berusia 29 tahun dan beberapa syarikat, sebagai upah untuk dirinya bagi tujuan yang sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Kuantan antara 6 Jun 2024 hingga 9 Sept 2024 mengikut Seksyen dan Akta yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ezuain Farhana Ahmad mengesyorkan jaminan RM20,000 bagi Irfan Syafiq Hafiz dan RM10,000 untuk Nurul Hidyatul Asyikin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri ke Pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Hakim kemudian membenarkan Irfan Syafiq Hafiz yang diwakili peguam Chua Yong Yi diikat jamin RM12,000, manakala Nurul Hidyatul Asyikin yang diwakili peguam M.Maran dijamin RM7,000 dengan syarat tambahan seperti yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes 9 Dis ini bagi Irfan Syafiq Hafiz dan 12 Dis bagi Nurul Hidyatul Asyikin.
-- BERNAMA