AM

Pendidikan Berkualiti, Kesihatan Baik Bentuk Kemakmuran Negara - Raja Permaisuri Agong

27/10/2025 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah pendidikan berkualiti dan kesihatan yang baik, penting bagi membentuk kemakmuran sesebuah negara.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah pendidikan adalah kunci utama untuk masa depan, kerana ia bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk nilai, empati dan integriti dalam diri setiap insan.

“Sebuah negara yang makmur bermula dengan rakyat yang sihat — justeru, akses kepada penjagaan kesihatan mesti dinikmati oleh semua, tanpa mengira latar belakang atau kemampuan,” titah Seri Paduka Baginda.

Raja Zarith Sofiah bertitah merasmikan Persidangan Impak Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Yayasan MySDG) 2025, yang berlangung di Kuala Lumpur dan dihadiri Pengerusi Yayasan MySDG Tan Sri Abdul Wahid Omar, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Seri Paduka Baginda turut menekankan prinsip-prinsip yang menjadi teras kepada Agenda 2030 Menuju Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang memberi penekanan kepada jaminan bahawa tiada golongan yang terpinggir.

Raja Permaisuri Agong turut menyeru agar golongan seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas, komuniti Orang Asli, golongan miskin bandar dan luar bandar, wanita, kanak-kanak dan belia, diberikan peluang dan harapan bagi memperoleh kehidupan yang lebih maju.

Raja Zarith Sofiah turut menggalakkan penglibatan aktif daripada semua sektor termasuklah sektor awam, swasta, masyarakat, serta pihak yang terlibat dalam kerja-kerja filantropi bagi mencapai matlamat tersebut.

Pada persidangan itu, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan dengan dua sesi pembentangan oleh Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB Profesor Jeffy D. Sachs dan Pengarah Eksekutif Pusat Sunway bagi Kesihatan Planet Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Yayasan MySDG ialah sebuah yayasan yang berperanan mempercepat kemajuan Malaysia ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

-- BERNAMA

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483919