AM

Dokumen Perintah Larangan Penggunaan Telefon Pintar Individu Bawah 16 Tahun Palsu - JPM

27/10/2025 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Dokumen bertajuk Perintah Larangan Penggunaan Telefon Pintar Bagi Individu Di Bawah Umur 16 Tahun yang sedang tular di aplikasi WhatsApp adalah palsu, menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM).

JPM menerusi kenyataan menegaskan jabatan itu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa beretika dan bertanggungjawab serta memastikan kesahihan maklumat sebelum dikongsikan kepada pengguna lain untuk mengelak sebarang kekeliruan,” menurut kenyataan itu, yang turut berkongsi dokumen palsu berkenaan.

JPM memaklumkan penyebaran berita atau maklumat palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dokumen palsu bertarikh 20 Okt yang menggunakan kepala surat JPM itu antara lain menyatakan bermula 1 Jan 2026, semua individu berumur di bawah 16 tahun dilarang sama sekali daripada memiliki, menggunakan atau mengakses telefon pintar di mana-mana kawasan dalam wilayah Malaysia.

Ia juga menyatakan individu atau penjaga yang gagal mematuhi perintah itu boleh dikenakan tindakan termasuk denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman kerja khidmat masyarakat mengikut budi bicara mahkamah atau pihak berkuasa tempatan. 

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484032