Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Isnin dengan lebih tinggi, dipacu oleh sentimen optimis membabitkan Sidang Kemuncak ASEAN yang sedang berlangsung dan terbukti memacu keyakinan terhadap kerjasama ekonomi serantau selain seiring prestasi pasaran serantau.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.11 mata atau 0.32 peratus kepada 1,618.38 berbanding akhir dagangan Jumaat lepas pada paras 1,613.27.
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 6.84 mata pada 1,620.11 dan bergerak dalam julat 1,617.45 hingga 1,623.23 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran menyaksikan 543 kaunter untung yang menyamai 543 kaunter rugi manakala 540 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,099 tidak didagangkan dan 12 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.44 bilion unit bernilai RM2.91 bilion daripada 2.98 bilion unit bernilai RM2.43 bilion pada Jumaat lepas.
Pasaran serantau menyaksikan Indeks Hang Seng Hong Kong naik 1.05 peratus kepada 26,433.70, Indeks Kospi Korea Selatan menambah 2.57 peratus kepada 4,042.83 manakala Indeks Nikkei 225 Jepun naik 2.46 peratus kepada 50,512.32.
Indeks Straits Times Singapura meraih 0.41 peratus kepada 4,440.30 manakala Indeks Komposit SSE China naik 1.18 peratus kepada 3,996.94.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sentimen serantau terus memaparkan peningkatan dengan pasaran ekuiti bergerak lebih tinggi, dipacu oleh keyakinan pelabur yang kian ketara terhadap kemungkinan penurunan kadar faedah AS serta perbincangan perdagangan AS-China yang dijangka memberi hasil positif.
“Di peringkat domestik, sentimen juga menjadi lebih positif di tengah-tengah perkembangan geopolitik dan ekonomi, sekali gus melegakan pelabur selepas berdepan beberapa minggu yang tidak menentu,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent memberitahu stesen penyiaran CBS bahawa Washington dan Beijing telah bersetuju dengan rangka kerja kemungkinan perjanjian perdagangan yang akan dibincangkan apabila pemimpin kedua-dua negara bertemu pada akhir minggu ini.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank untung satu sen kepada RM9.91, CIMB Group naik lapan sen kepada RM7.45, Tenaga Nasional menokok 14 sen kepada RM13.36, IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM8.35 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.22.
Saham paling aktif menyaksikan kemunculan pertama di Pasaran ACE, Insights Analytics melonjak 29.5 sen kepada 65.5 sen, Top Glove naik satu sen kepada 68.5 sen, Tanco meningkat setengah sen kepada 89 sen dan Land & General sebaliknya susut satu sen kepada 15.5 sen manakala TWL Holdings dan Perak Transit masing-masing kekal tidak berubah pada 2.5 sen dan 33.5 sen.
Kaunter paling untung didahului UMS Integration yang untung RM1.08 kepada RM5.80, Malaysian Pacific Industries menambah 56 sen kepada RM30.54, United Plantations menokok 50 sen kepada RM24.50 dan Kuala Lumpur Kepong serta Fraser & Neave masing-masing naik 38 sen kepada RM20.90 dan RM28.54.
Sebaliknya, kaunter dengan kerugian ketara adalah Nestle yang merosot RM1.40 kepada RM106.60, Dutch Lady turun 20 sen kepada RM26.10, Petronas Gas dan Hi Mobility masing-masing rugi 14 sen kepada RM18.60 dan RM2.38 manakala Eco-Shop Marketing turun 11 sen kepada RM1.44.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meraih 38.00 mata kepada 12,109.0, Indeks FBMT 100 naik 41.04 mata kepada 11,844.63, Indeks FBM Emas Shariah memenambah 53.22 mata kepada 12,199.91, Indeks FBM 70 melonjak 75.58 mata kepada 17,246.56 dan Indeks FBM ACE sebaliknya susut 55.91 mata kepada 5,236.75.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 45.28 mata kepada 18,249.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.34 mata kepada 172.25, Indeks Perladangan melonjak 107.13 mata kepada 8,016.42 manakala Indeks Tenaga turun 7.93 mata kepada 783.39.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.77 bilion unit bernilai RM2.49 bilion berbanding 1.56 bilion unit bernilai RM2.15 bilion pada Jumaat lepas.
Selain itu, jumlah waran bertambah kepada 1.08 bilion unit bernilai RM124.39 juta daripada 971.32 juta unit bernilai RM111.42 juta pada minggu lepas.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 587.10 juta unit bernilai RM291.77 juta daripada 447.39 juta unit bernilai RM172.25 juta sebelum ini.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 345.30 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (297.42 juta), pembinaan (89.81 juta), teknologi (225.00 juta), perkhidmatan kewangan (68.65 juta), hartanah (360.13 juta), perladangan (51.94 juta), amanah pelaburan hartanah (23.01 juta), dana tertutup (49,200), tenaga (91.21 juta), penjagaan kesihatan (139.50 juta), telekomunikasi dan media (25.10 juta), pengangkutan dan logistik (16.74 juta), utiliti (39.25 juta), serta amanah perniagaan (25,500).
-- BERNAMA