Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives menyusut pada Isnin apabila satu lagi pusingan aktiviti pengambilan untung melanda pasaran, dengan tanda-tanda ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) - China yang semakin reda, sekali gus mengurangkan permintaan ke atas aset selamat.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kepada Bernama bahawa ketegangan perdagangan yang semakin reda telah mengurangkan faktor risiko yang sebelum ini mendorong kenaikan harga emas, menyebabkan pelabur mengambil keuntungan menjelang mesyuarat bank pusat utama.
Kontrak semerta bulan Oktober 2025 ditutup pada US$4,041.1 setiap auns troy, merosot daripada US$4,074.10 pada Jumaat, manakala kontrak November 2025 berkurang kepada US$4,057.8 daripada US$4,090.80, dan kontrak Disember 2025 susut kepada US$4,074.4 daripada US$4,107.40.
Niaga hadapan Januari 2026 merosot kepada US$4,091.4 setiap auns troy daripada US$4,124.40, dengan kontrak Februari, April dan Jun 2026 juga ditutup lebih rendah, iaitu pada US$4,107.3 berbanding US$4,140.30 sebelumnya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 337 lot daripada 275 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 392 kontrak daripada 346.
Mengikut penetapan London Bullion Market Association, harga emas fizikal berada pada US$4,104.40 setiap auns troy pada 24 Okt, 2025.
-- BERNAMA