Oleh Muhammad Faiz Baharin
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia dan New Zealand berhasrat memuktamadkan semakan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–New Zealand (MNZFTA) menjelang akhir tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon telah menzahirkan komitmen terhadap perkara itu dalam satu pertemuan dua hala di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak berkaitan di sini hari ini.
Anwar berkata dalam pertemuan itu, New Zealand juga menzahirkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor halal.
“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala meliputi pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pertanian, perikanan, pembangunan industri halal, pendidikan serta tenaga boleh baharu.
“Kedua-dua pihak turut meneliti kemajuan pelaksanaan serta rundingan beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian sedia ada, merangkumi bidang belia dan sukan, pendidikan, pertanian, keadilan jenayah, jenayah rentas sempadan, pengurusan bencana dan kastam,” kata beliau.
Selain itu, Anwar berkata pelbagai isu serantau dan antarabangsa, termasuk perkembangan di Myanmar dan Palestin turut dibincangkan.
Perdana Menteri berkata Malaysia dan New Zealand senada dalam menegaskan komitmen terhadap prinsip keamanan, keadilan dan pembangunan inklusif.
“Semoga hubungan persahabatan dan kerjasama erat antara Malaysia dengan New Zealand terus mekar, memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata beliau.
Sidang kemuncak serantau tiga hari yang berakhir hari ini diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
-- BERNAMA