BATU PAHAT, 28 Okt (Bernama) -- Polis menahan ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera dikelar dengan pisau di kediamannya di Parit Raja, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata pasangan suami isteri berusia 41 tahun yang berniaga sendiri itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat kira-kira 4 petang hari ini.
“Polis turut membuka kertas siasatan baharu di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut laporan, wanita berkenaan menyedari anaknya mengalami kesan kelar di leher sebaik sahaja dia tersedar daripada tidur pada 5.30 pagi di rumah mereka.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata tajam.
Terdahulu, Shahrulanuar Mushaddat berkata kanak-kanak terbabit berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Mangsa juga sudah boleh bercakap namun pihaknya belum merekodkan keterangan memandangkan kanak-kanak itu belum pulih sepenuhnya.
-- BERNAMA