DUNIA

Lee Hsien Loong Seru Perkukuh Hubungan Perdagangan Serantau Dan Antara Wilayah

28/10/2025 03:01 PM

SINGAPURA, 28 Okt (Bernama-Xinhua) -- Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong pada Isnin menyeru negara-negara supaya memperkukuh kerjasama perdagangan serantau dan antara wilayah serta tidak berputus asa terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ketika perdagangan global berdepan peningkatan perpecahan dan persaingan geopolitik.

“Pertama sekali, jangan berputus asa terhadap WTO,” kata Lee ketika sesi dialog di London, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Singapura yang dipetik Xinhua.

Walaupun WTO mempunyai banyak kekurangan, beliau berkata negara-negara masih boleh bertindak dalam kerangka pertubuhan itu kerana ia melambangkan “satu cita-cita dan konsep bagaimana kita sepatutnya bekerjasama.”

“Mengenai perdagangan dalam rantau, kita harus berusaha meningkatkan kerjasama dan mengurangkan halangan yang kita cipta sendiri,” katanya.

Lee turut menekankan kepentingan menghubungkan pelbagai rantau di dunia.

Beliau juga menegaskan bahawa sejak pengumuman dasar tarif baharu Amerika Syarikat, kebanyakan negara menunjukkan sikap berhemah dalam tindak balas mereka.

“Jelas bahawa mereka mahu mengekalkan sebanyak mungkin kerangka sedia ada agar kita tidak saling melemahkan ekonomi masing-masing.

“Jika keadaan ini dapat dikekalkan, ia akan menjadi sesuatu yang amat berharga,” katanya.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484335