AM

Penyelidik UniMAP Berjaya Raih Anugerah Emas Berganda Di London

24/10/2025 06:21 PM

KANGAR, 24 Okt (Bernama) -- Seorang penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA), berjaya meraih Anugerah Emas Berganda pada penganjuran Global Women Inventors & Innovators Network (GLOBALWIIN) Summit of Roundtables & Awards 2025 yang berlangsung di London pada Rabu lepas dan semalam.

UniMAP dalam kenyataan hari ini memaklumkan Dr Norazian Mohamed Noor menerima pengiktirafan itu menerusi inovasi beliau bertajuk Smart Air Quality Forecasting Tool for Transboundary Haze Events in Southeast Asia, iaitu satu sistem ramalan pintar berasaskan gabungan kaedah statistik dan pembelajaran mesin kecerdasan buatan (AI), untuk meramalkan kepekatan bahan pencemar udara semasa episod jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara.

“Anugerah berprestij itu dianjurkan oleh GLOBALWIIN, sebuah platform antarabangsa yang memberi pengiktirafan kepada wanita yang cemerlang dalam bidang inovasi, ciptaan dan keusahawanan di seluruh dunia,” menurut UniMAP dalam kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Norazian berkata inovasi itu, dibangunkan bagi memenuhi keperluan mendesak terhadap sistem ramalan kualiti udara yang lebih tepat, pantas dan berasaskan data sebenar.

“Cabaran jerebu di rantau ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah memberi impak besar kepada ekonomi dan alam sekitar. Inovasi ini dihasilkan bagi membantu pihak berkuasa serta masyarakat membuat tindakan awal berdasarkan ramalan kualiti udara yang lebih tepat,” katanya.

Norazian berkata alat ramalan itu, turut menggabungkan pelbagai bahan pencemar utama seperti karbon monoksida (CO), ozon (O₃) dan sulfur dioksida (SO₂), selain mengambil kira parameter meteorologi seperti suhu, kelajuan angin dan kelembapan sekali gus meningkatkan ketepatan ramalan berbanding model linear tradisional.

Dalam pada itu, dalam kenyataan sama juga, Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata pencapaian Norazian itu, membuktikan keupayaan penyelidik universiti tempatan bersaing di pentas antarabangsa.

“Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama UniMAP dan Malaysia pada peringkat global, tetapi juga menjadi inspirasi kepada golongan wanita dalam bidang sains dan teknologi untuk terus mencipta impak,” katanya.

Zaliman berkata kejayaan itu sekali gus memperkukuh reputasi UniMAP sebagai universiti berteraskan teknologi dan inovasi, selaras dengan peranan universiti berkenaan dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan usaha negara memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penyelidikan berimpak tinggi.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482584