EKONOMI

SP Setia Kemuka Makumat Nota Islam RM3.5 Bilion, Program ICP RM500 Juta Kepada SC

28/10/2025 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- SP Setia Bhd (SP Setia) telah mengemukakan maklumat program terbitan nota Islam sehingga RM3.5 bilion dan program kertas komersial Islam (ICP) sehingga RM500 juta kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di bawah rangka kerja penyerahan dan pelancaran. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata terbitan nota Islam (program sukuk wakalah) itu terdiri daripada terbitan nota jangka sederhana Islam senior (sukuk wakalah senior) dan/atau nota Islam kekal subordinat (sukuk wakalah kekal).

Katanya, program ICP mempunyai tempoh selama tujuh tahun, dengan terbitan pertama dibuat dalam tempoh 90 hari bekerja daripada tarikh penyerahan.

Menurut syarikat itu, setiap terbitan ICP akan mempunyai tempoh sekurang-kurangnya sebulan dan sehingga 12 bulan. 

“Hasil daripada sukuk wakalah yang diterbitkan di bawah program sukuk wakalah selain daripada sukuk wakalah kemampanan hendaklah digunakan untuk tujuan patuh syariah,” katanya.

HSBC Amanah Malaysia Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat utama bersama dan penyelaras penstrukturan kemampanan bersama untuk program sukuk, manakala CIMB Investment Bank Bhd, HSBC Amanah dan Maybank IB berperanan sebagai pengatur utama bersama. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484350