KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menganjurkan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK) 2025 bertempat di Lurah Semantan, Temerloh, Pahang bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata penganjuran HPPK 2025 adalah kesinambungan agenda pengupayaan komuniti usahawan selaras dengan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil yang disambut pada 18 Nov setiap tahun.
“Oleh kerana itu, kami memilih tema ‘Memacu Ekonomi MADANI: Memperkasa Usahawan Mikro’ bagi menegaskan iltizam kerajaan dalam mendekatkan agenda pembangunan ekonomi kepada rakyat terutama di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penganjuran HPPK 2024 di Pulau Pinang telah mencatatkan kehadiran 44,000 pengunjung iaitu jumlah tertinggi sejak penganjuran HPPK, selain merekodkan jualan berjumlah RM520,000 serta potensi pembiayaan sebanyak RM3.26 juta melalui agensi-agensi pembiayaan kerajaan.
Khairul Dzaimee berkata pencapaian itu membuktikan HPPK berperanan sebagai platform berkesan yang menghubungkan usahawan mikro termasuk penjaja dan peniaga kecil dengan peluang pasaran dan pembiayaan secara langsung.
“Berdasarkan momentum positif itu, KUSKOP yakin penganjuran kali ini bukan sahaja bagi meraikan semangat keusahawanan rakyat tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil sebagai wadah menghargai sumbangan para usahawan yang menjadi nadi ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata HPPK 2025 akan menampilkan penyertaan 158 usahawan pelbagai kategori termasuk lapan pengusaha trak makanan, 14 usahawan Anekarasa MADANI dan 30 usahawan Satu Daerah Satu Industri (SDSI).
Selain itu, sebanyak 707 penjaja yang beroperasi di Pekan Sehari, Temerloh pada Ahad akan turut digandingkan dengan penyertaan 20 agensi pempamer kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Pelbagai tawaran turut disediakan termasuk Jualan Rahmah MADANI serta pengenalan produk tempatan berkualiti daripada usahawan SDSI dan Anekarasa MADANI.
“HPPK 2025 turut memperkenalkan pelbagai inisiatif berkaitan transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI), antaranya kolaborasi pemasaran bersama TikTok Shop di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, seminar keusahawanan oleh Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) dan Program Jajahan Rakyat di bawah Bank Rakyat,” katanya.
Beliau berkata langkah itu bertujuan meningkatkan kesedaran pendigitalan dalam kalangan masyarakat, penjaja dan peniaga kecil termasuk penggunaan pembayaran tanpa tunai yang diyakini dapat memperkukuh daya saing digital serta memodenkan operasi perniagaan usahawan mikro.
Karnival tiga hari itu turut dimeriahkan dengan pelbagai acara antaranya program kesedaran keselamatan seperti pemberian topi keledar percuma oleh JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), tukar minyak hitam motosikal percuma, pelaksanaan Program Satelit Komuniti, Larian Santai selain sokongan padu daripada PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan Jabatan Penjara Malaysia.
“Dalam konteks yang sama, HPPK 2025 juga adalah satu platform dalam meraikan para penjaja dan peniaga kecil melalui galakan kepada masyarakat untuk berbelanja bagi meningkatkan jualan usahawan sebagai tanda menghargai usaha mereka.
“Bagi tujuan ini, pengunjung yang hadir akan menerima kupon bernilai RM10 sebagai galakan dan sokongan terhadap perniagaan kecil tempatan,” katanya.
-- BERNAMA