JENAYAH & MAHKAMAH

Buruh Binaan Didakwa Bunuh Sepupu Isteri

30/10/2025 06:45 PM

TUMPAT, 30 Okt (Bernama) -- Seorang buruh binaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh sepupu kepada isterinya di sini pada Jumaat lepas. 

Hamizi Hamzah, 45, mengangguk faham terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret Wan Ashrul Afhan Mohamad Azmi, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa membunuh Mohd Shuhairi Hasim, 46, di hadapan sebuah rumah di Kampung Kok Bedollah di sini pada 11.20 malam 24 Okt.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazuha Ismail manakala Hamizi tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah metamphetamine di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pada Sabtu lepas.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret menetapkan sebutan semula dua kes itu pada 28 Jan 2026. 

Pada 25 Okt, polis mengesahkan seorang lelaki tempatan maut selepas ditetak bertubi-tubi menggunakan sebilah parang. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485364