AM

Karnival Alam Kita Perkukuh Kesedaran Pelihara Alam Sekitar, Amal Gaya Hidup Hijau

01/11/2025 08:40 PM

KOTA KINABALU, 1 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menganjurkan Karnival Alam Kita sebagai program turun padang bagi memperkukuh kesedaran serta tindakan orang ramai dalam menjaga alam sekitar menerusi amalan gaya hidup hijau.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang memangku portfolio Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata karnival tersebut membawa mesej bahawa kelestarian alam bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya peranan bersama rakyat Malaysia dalam menjaga bumi ini.

"Perubahan besar bermula dengan langkah kecil seperti mengurangkan penggunaan plastik, menanam pokok dan memelihara sungai kita," katanya dalam siaran media selepas majlis perasmian Karnival Alam Kita peringkat negeri Sabah di Membakut, dekat Kimanis hari ini.

Karnival Alam Kita merupakan program tahunan NRES dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, agensi kerajaan lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta, dengan menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti bengkel pendidikan alam sekitar, seminar kesedaran biodiversiti, aktiviti gotong-royong komuniti, pameran interaktif, pertandingan lestari dan aktiviti mesra keluarga.

Johari berkata Sabah merupakan antara negeri paling kaya dengan khazanah semula jadi di dunia, dengan pelbagai ekosistem unik meliputi hutan tropika, gunung-ganang dan kawasan marin bertaraf dunia, justeru kekayaan biodiversiti itu perlu terus dipelihara daripada ancaman kehilangan habitat, perubahan iklim, aktiviti penerokaan tidak terkawal serta pencemaran.

"Penganjuran Karnival Alam Kita di Sabah tahun ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh penglibatan masyarakat dalam menjayakan agenda kelestarian dan penjagaan alam sekitar di seluruh negara," katanya, sambil menegaskan usaha membina kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar bermula dari rumah dan sekolah.

Sementara itu, Johari berkata NRES sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh keseimbangan antara pembangunan ekonomi, sosial dan pemuliharaan alam.

Beliau berkata antara agenda utama NRES ialah melaksanakan Dasar Alam Sekitar Negara bagi memperkukuh tadbir urus alam sekitar; Pelan Tindakan dan Strategi Biodiversiti Kebangsaan bagi memperluas perlindungan biodiversiti dan mempertingkat pengurusan kawasan perlindungan; serta Pelan Tindakan Iklim Negara bagi mempercepat usaha mitigasi dan adaptasi terhadap perubahan iklim.

Beliau berkata Malaysia turut memperkukuh kedudukan di peringkat antarabangsa melalui penyertaan aktif dalam pelbagai perjanjian dan konvensyen global seperti Protokol Montreal, Konvensyen Paris dan Konvensyen Kepelbagaian Biologi.

Johari menjelaskan komitmen itu diterjemahkan ke dalam tindakan di lapangan melalui projek nyata seperti pemulihan hutan paya bakau, pemeliharaan kawasan tadahan air, pengurangan pelepasan karbon serta perlindungan spesies terancam.

“Komitmen Malaysia bukan hanya di atas kertas. Ia diterjemahkan melalui program di lapangan yang memberi kesan langsung kepada komuniti dan alam sekitar. Kita perlu memastikan pembangunan negara terus berlaku dengan mengambil kira keseimbangan ekologi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486146