AM

KPKT Akan Perluas Projek 'I Lite U' Ke Ipoh, Peruntuk RM2 Juta

02/11/2025 02:12 PM

IPOH, 2 Nov (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperluas Projek Inovasi Pencahayaan Ke Arah Kelestarian Bandar, iaitu ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Bandaraya Ipoh dengan peruntukan RM2 juta.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata projek itu akan dilaksanakan menerusi peruntukan RM1 juta daripada KPKT manakala jumlah yang sama diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selepas projek itu dilancarkan bagi kawasan sekitar ibu negara pada Rabu lepas.

“Program Pencahayaan Semula Bandaraya Ipoh, kerana Ipoh kini adalah antara destinasi pelancongan domestik yang sangat popular.

“Tahun lepas, kita berjaya menarik hampir 10 juta pelancong domestik dan juga antarabangsa,  menjadikan Ipoh menduduki tempat pertama dari segi tarikan pelancongan domestik,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Taman Rekreasi MADANI, Taman Boon Bak di sini hari ini.

Nga berkata Ipoh kini antara destinasi hujung minggu paling popular di negara ini dan berdasarkan perangkaan MBI, bandar raya itu memerlukan sebanyak 13,000 bilik hotel bagi menampung keperluan pelancong yang semakin meningkat.

“Bagaimanapun tawaran kita tak cukup, kita hanya ada 8,000 sahaja, jadi saya menggalakkan mana-mana pelabur boleh masuk Ipoh untuk bangunkan hotel, khususnya hotel yang mesra dan lestari alam,” katanya.

Terdahulu, Nga dalam lawatan Sentuhan Kasih KPKT di Pasar Sementara di Pasir Putih berkata pasar itu telah siap sepenuhnya dengan peruntukan sebanyak RM1.425 juta selepas terbakar pada tahun lepas.

“Selain itu, saya mengumumkan peruntukan, Sentuhan Kasih istimewa KPKT RM9 juta untuk pembinaan pasar baharu Pasir Putih. Satu pertandingan reka bentuk akan dianjurkan oleh MBI bersama dengan Persatuan Arkitek Malaysia untuk memilih reka bentuk yang terbaik.   

“Supaya pasaran kita setanding penanda aras yang ditetapkan, berpotensi sebagai satu tarikan pelancongan, seperti Pasar Pinji yang sedang dibina dan bakal siap menjelang 2027.

“Jadi, RM9 juta telah diluluskan dan kerja-kerja permulaan akan bermula tahun depan di bawah Rancangan Malaysia ke-13,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486244