KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kem Belia Tatarstan-Malaysia 2025 menjadi jambatan persahabatan baharu antara Malaysia dan Republik Tatarstan, sebuah wilayah persekutuan di bawah Persekutuan Rusia, yang mencerminkan hubungan erat dan berkekalan antara kedua-dua negara.
Program lapan hari berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini, menghimpunkan 194 peserta belia dari Malaysia dan Tatarstan, melaksanakan pelbagai aktiviti kepimpinan, pertukaran budaya dan pendidikan, yang bertujuan memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat, serta memupuk persefahaman bersama.
Duta Rusia ke Malaysia Nail Latypov berkata inisiatif itu merupakan platform bermakna dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Rusia, khususnya menerusi diplomasi belia dan pendidikan.
“Saya benar-benar berharap agar inisiatif bersama seperti ini, dapat menjadi tradisi yang baik dan dijalankan secara berkala, kerana melalui pertemuan sebegini wujudnya persefahaman, persahabatan dan keyakinan terhadap masa depan bersama,” katanya pada majlis itu hari ini.
“Masa depan negara kita berada pada tangan anda semua. Malaysia dan Rusia merupakan rakan kongsi yang sangat baik. Kita telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak hampir enam dekad dan terus menikmati hubungan yang mesra serta bersahabat,” katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBSN) Azura Abidin yang merasmikan majlis tersebut berkata kem belia itu menonjolkan komitmen Malaysia dalam menggunakan pertukaran budaya sebagai alat diplomasi dan kuasa lembut.
“Melalui pertukaran ilmu dan budaya, belia dapat memahami nilai-nilai kemanusiaan sejagat dengan lebih mendalam serta berperanan sebagai jambatan perpaduan antara negara,” kata Azura yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pusat Belia Antarabangsa (IYC).
Beliau berkata setiap peserta dipilih berdasarkan potensi mereka untuk menjadi “duta kecil” yang memupuk pemahaman budaya dan persahabatan merentas sempadan.
Azura berkata inisiatif itu juga, selaras dengan Dasar Pembangunan Belia Negara 2030 dan Malaysia MADANI, yang menekankan kesedaran global, keterangkuman serta kepimpinan belia bertanggungjawab.
Turut hadir ialah Pengarah IYC Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, pegawai delegasi Tatarstan serta wakil Majlis Belia Malaysia dan rakan strategik terlibat.
Program anjuran IYC dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia, Sekolah Rendah Jalan Tiga Bangi serta rakan strategik dari Tatarstan, mengukuhkan lagi reputasi Malaysia sebagai hab diplomasi dan kerjasama belia antarabangsa yang semakin berkembang.
-- BERNAMA