KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas yang dipercayai hilang ketika menjala ikan di sebuah longkang besar di Taman Lestari Putra, Seri Kembangan malam tadi, ditemukan selamat pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mangsa dijumpai pada 9.55 pagi selepas dipercayai tersesat di kawasan hutan berdekatan tempat dia menjala.
Beliau berkata mangsa berusia 74 tahun itu dikenali sebagai Saharun Hashim dan tinggal di Taman Lestari Putra.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan sihat dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada 8.47 malam tadi sebelum lapan anggota bersama-sama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Operasi pencarian malam tadi meliputi radius 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dikhuatiri hilang dan turut disertai anggota polis, penduduk kawasan berkenaan serta ahli keluarga mangsa.
"Pencarian awal menjumpai motosikal milik mangsa di lokasi. Operasi ditangguhkan pada 10.20 malam tadi selepas mangsa masih gagal ditemukan dan disambung semula pada 8 pagi ini," katanya.
– BERNAMA