IPOH, 1 Nov (Bernama) -- Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak Selasa lepas (28 Okt) ditemukan meninggal dunia pagi tadi dalam parit di kebun pisang di Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang dekat Bagan Datuk.
Pemangku Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata mayat Halimah Idris, 77, yang dikatakan mempunyai masalah ingatan (nyanyuk) ditemui pasukan bomba pada 10.50 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pagi tadi.
“Pada 9 pagi operasi pencarian melibatkan pelbagai agensi dilakukan di sektor A dan B dengan mengikuti jejak terakhir mangsa dalam radius 5 kilometer ke persisir sungai menggunakan kaedah sweep search dan mengaplikasikan teknik LAST (teknik hilang dan selamat),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mangsa kemudian dijumpai oleh pasukan SAR di sektor B iaitu di dalam parit di kebun pisang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi.
Shazlean berkata mangsa dikeluarkan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini dilaporkan SAR digerakkan bagi mencari Halimah yang hilang dalam kawasan kebun sawit dan pisang di sekitar rumahnya sejak Selasa lepas.
Mangsa dipercayai kali terakhir dilihat keluarga dan penduduk kampung di sekitar kawasan berkenaan pada 4 petang.
-- BERNAMA