KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Persatuan Pengurusan Kredit Malaysia (ACMM) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MoF) memperkenalkan peraturan yang jelas serta telus berkaitan kewajaran penutupan akaun bank individu serta syarikat.
Gesaan itu dibuat berikutan peningkatan kes penggantungan akaun secara serta-merta tanpa penjelasan yang hanya menjejaskan individu dan perniagaan.
Dalam kenyataannya hari ini, ACMM berkata walaupun persatuan itu menyokong usaha BNM memperkukuh langkah pencegahan pengubahan wang haram, sebarang usaha penguatkuasaan sebaliknya perlu dilaksanakan secara adil dengan proses wajar serta justifikasi atau alasan yang tepat.
“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, banyak perniagaan terutamanya, diklasifikasikan sebagai 'berisiko tinggi' dan (akibatnya) akaun bank digantung atau ditutup secara tiba-tiba tanpa penjelasan atau bukti jelas yang menyebabkan gangguan serius terhadap operasi mereka, termasuk aliran tunai, gaji, pembayaran pembekal serta dan kelangsungan perniagaan secara keseluruhan,” katanya.
ACMM berkata tiada mana-mana individu atau syarikat yang harus dikenakan tindakan, penalti atau diskriminasi selagi tidak dibuktikan bersalah di mahkamah.
“Penutupan akaun yang hanya berasaskan syak atau klasifikasi risiko dalaman tanpa alasan atau justifikasi sewajarnya atau tanpa peluang merayu, adalah bertentangan dengan prinsip asas keadilan,” katanya.
Presiden ACMM Dr Sri Ganesh Michiel berkata walaupun persatuan mengakui kepentingan memerangi pengubahan wang haram serta pembiayaan aktiviti pengganas, namun pada masa sama ACMM berpendirian bahawa perniagaan sah dan individu tidak harus menjadi sasaran tidak adil atau dinafikan akses terhadap perkhidmatan perbankan yang penting.
“Banyak pihak terjejas ini tidak pun didakwa atau disabitkan kesalahan, namun mereka dianggap bersalah tanpa dibicarakan,” katanya.
ACMM, katanya, kekal komited dalam usaha menyokong kerajaan dan pengawal selia dalam menjaga integriti sistem kewangan, namun penekanan itu perlu seimbang dengan perlindungan hak pengguna dan perniagaan bagi mendapatkan layanan adil serta akses terhadap perkhidmatan perbankan yang penting.
-- BERNAMA