KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Rangka dan konsep produk asas insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) yang dijangka dimuktamadkan pada akhir tahun ini telah menerima maklum balas yang menggalakkan daripada ahli majlis perundingan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat menerusi hantaran di media sosialnya hari ini berhubung mesyuarat kedua Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) berkata, maklum balas itu diperoleh daripada wakil persatuan insurans dan takaful, doktor dan pakar hospital swasta, persatuan perubatan, ahli akademik dan kumpulan pengguna.
Katanya produk asas itu dirangka untuk menggalakkan penjagaan kesihatan berasaskan nilai serta membantu menguruskan kos inflasi perubatan yang semakin meningkat, sekali gus menjadikan penjagaan kesihatan swasta lebih mudah diakses dan terus mampu dimiliki untuk semua rakyat Malaysia.
“Dalam mesyuarat itu, Datuk Jessica Chew yang mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu JBMKKS telah membentangkan perkembangan utama berhubung produk MHIT yang sedang menjalani proses rundingan bersama pihak berkaitan,” menurut BNM.
Mesyuarat itu yang diadakan pada 29 Oktober lepas dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut kenyataan itu kedua-dua menteri berkenaan menegaskan kepentingan tindakan kolaboratif melibatkan semua pihak berkepentingan utama bagi memacu pembaharuan penjagaan kesihatan yang bermakna serta memastikan tahap mampu milik untuk jangka panjang.
-- BERNAMA