AM

Lazada Perkenal Empat Inovasi AI, Tingkat 'Pengalaman Manis’ Beli-belah 11.11

04/11/2025 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Lazada Malaysia memperkenalkan empat inovasi kecerdasan buatan (AI) baharu yang bakal mentransformasi pengalaman membeli-belah dalam talian sempena kempen 11.11 ‘Tawaran Jenama Paling Manis Tahun Ini’.

Empat ejen AI baharu itu ialah Ejen Pemulangan, Ejen Logistik, Ejen Penyenaraian Produk dan Ejen Pemasaran yang akan beroperasi di belakang tabir secara serentak bagi memastikan setiap langkah pembelian, penghantaran dan perkhidmatan selepas jualan lebih lancar dan telus.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Kaya Qin berkata ejen AI berkenaan menyokong AI Lazzie yang diperkenalkan pada 2024 sebagai rakan beli-belah maya bagi membantu pengguna mencari produk sesuai, membuat perbandingan pantas dan membeli dengan lebih yakin.

“Di Lazada, kami sedang membina ekosistem e-dagang yang lebih pintar dan inklusif, dengan setiap penjual, besar atau kecil mempunyai peluang dan infrastruktur untuk berkembang.

“Ia berasaskan kepercayaan dua hala antara jenama, penjual, dan pelanggan yang mempercayai mereka. Untuk 11.11 kali ini, kami ingin menunjukkan bahawa rakyat Malaysia boleh menikmati yang terbaik daripada kedua-dua dunia ini iaitu kualiti dan keyakinan,” katanya pada program Lazada Playhouse: The Sweetest Experience di sini hari ini.

Kaya berkata setiap produk menampilkan tanda pengesahan rasmi LazMall berserta jaminan ketulenan, waranti yang jelas, pembayaran selamat dan pilihan pemulangan yang mudah, termasuk Polisi Tukar Fikiran.

Lazada turut menjamin setiap pembelian di LazMall dengan bayaran balik sehingga lima kali ganda sekiranya produk yang dibeli didapati tiruan, menjadikannya antara perlindungan pengguna paling kukuh di Asia Tenggara.

Sementara itu, Ketua Operasi Am Lazada Malaysia Kevin Yap berkata pengguna kini lebih bijak dan menilai faktor keaslian serta kebolehpercayaan berbanding sekadar promosi harga rendah.

“Trend promosi harga murah semata-mata kini semakin kehilangan tarikan dan kami melihat pengguna Malaysia semakin bijak dan lebih menilai keaslian, kebolehpercayaan, serta polisi yang adil.

“Oleh itu, Lazada kini memberi tumpuan kepada tadbir urus jenama, inovasi AI, dan jaminan kualiti bagi membina kepercayaan serta kesetiaan jangka panjang,” katanya.

Yap berkata gabungan itu menjadikan AI bukan sekadar teknologi sokongan di belakang tabir, tetapi co-pilot pintar yang menggerakkan setiap klik, menjadikan pengalaman membeli-belah 11.11 di Lazada lebih lancar, selamat dan menguntungkan pengguna Malaysia.

Dalam kempen 9.9 baru-baru ini, AI Lazzie membantu meningkatkan pesanan sebanyak 36 peratus dan interaksi pembeli sebanyak 34 peratus, menunjukkan sambutan positif pengguna terhadap pengalaman membeli-belah di Lazada.

Dengan kadar penembusan Internet mencecah 98 peratus dan pertumbuhan e-dagang Malaysia tertinggi di rantau ini, Lazada terus berperanan sebagai peneraju yang menggabungkan teknologi, keaslian dan keyakinan dalam setiap pembelian.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487039