Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini sekali gus memecahkan aliran menurun berbilang hari.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga yang lebih rendah menarik minat belian baharu daripada peserta pasaran yang mencari nilai pada paras yang lebih rendah.
"Kami melihat paras sokongan pada RM4,100 setiap tan manakala paras rintangan dijangka sekitar RM4,280," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM pulih sedikit selepas susut ke paras terendah dalam tempoh empat bulan apabila peniaga memasukkan jangkaan pengeluaran Oktober yang lebih tinggi serta peningkatan inventori.
"Harga turun kerana peniaga menjangkakan pengeluaran Oktober yang lebih tinggi dan peningkatan stok dengan UOB Kay Hian menganggarkan kenaikan pengeluaran antara lapan hingga 12 peratus bermula dari September, menjelang data rasmi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dijadualkan dikeluarkan pada 10 November," katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta November 2025 naik RM21 kepada RM4,110 setiap tan, Disember 2025 meningkat RM21 kepada RM4,118 setiap tan, Januari 2026 bertambah RM28 kepada RM4,143 setiap tan dan Februari 2026 menambah RM36 kepada RM4,171 setiap tan.
Sementara itu, Mac 2026 menokok RM41 kepada RM4,186 setiap tan dan April 2026 melonjak RM41 kepada RM4,185 setiap tan.
Jumlah dagangan berkembang kepada 119,345 lot daripada 113,744 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka meningkat sedikit kepada 265,293 kontrak daripada 265,151 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM untuk November Selatan turun RM30 kepada RM4,150 setiap tan.
-- BERNAMA