GAYA HIDUP

Royal Selangor Kekalkan Tradisi Pertukangan Tangan

05/11/2025 11:49 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

IPOH, 5 Nov (Bernama) -- Di sebalik kilauan piuter Royal Selangor yang menjadi simbol kemewahan dan kehalusan seni kraf kebanggaan negara, keunggulan jenama itu kekal bertunjangkan tradisi pertukangan tangan, warisan yang terus hidup sebagai nadi identitinya selama lebih satu abad.

Berpegang teguh pada prinsip keaslian dan kualiti tertinggi, syarikat yang terkenal dengan rangkaian produk perhiasan rumah serta cenderamata ini memilih untuk terus mempertahankan tradisi pembuatan secara manual, biarpun teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI) kini semakin mendominasi industri pembuatan.

Bagi syarikat berusia lebih 140 tahun ini, kemajuan teknologi mungkin mempercepatkan proses, namun nilai sebenar sesuatu karya kraf hanya dapat dilahirkan melalui kemahiran, ketelitian dan sentuhan jiwa manusia yang menghidupkan lagi setiap lekukan pada seni piuter ini.

Dengan berpaksikan prinsip itu, Pengarah Urusannya Datuk Yong Yoon Li berkata Royal Selangor tetap terbuka terhadap kemajuan teknologi, namun menggunakannya secara bijak bagi memperkukuh proses reka bentuk tanpa mengorbankan nilai seni pertukangan manusia.

pic-2

“Teknologi membantu kami menghasilkan reka bentuk dengan lebih pantas dan mudah divisualkan, namun sentuhan manusia tetap penting untuk memberikan jiwa dan keindahan kepada setiap karya.

“Seni ukiran mempunyai ‘bahasa’ tersendiri yang tidak dapat ditiru mesin atau AI. Sebab itu, keseimbangan antara teknologi dan kemahiran manusia amat penting bagi mengekalkan nilai seni dalam setiap rekaan,” katanya kepada Bernama bersempena dengan program A Journey Across Time, Heritage and Artistry baru-baru ini.

Dengan kira-kira 150 tukang kraf tempatan berkemahiran tinggi, Yong berkata setiap operator baharu yang diambil perlu mengikuti latihan asas di Kaizen Training School di ibu negara, selama tiga bulan sebelum ditempatkan di bahagian pengeluaran di bawah bimbingan tenaga pengajar berpengalaman dalam kalangan staf sedia ada.

pic-3

“Mereka semua rakyat Malaysia dan kebanyakannya bermula seawal lepasan sekolah menengah. Mereka menjalani latihan selama dua hingga tiga bulan sebagai perantis sebelum menjadi pakar dalam bidang masing-masing seperti machining, polishing dan soldering.

“Biasanya enam hingga lapan bulan sudah boleh kuasai asas tetapi untuk benar-benar mahir, ia mengambil masa kira-kira dua tahun,” katanya sambil menambah cabaran dihadapi syarikat itu kini ialah mengekalkan kesinambungan generasi tukang piuter bagi memastikan seni pertukangan itu terus kekal. 

Beliau berkata setiap tahun Royal Selangor sentiasa mencari bakat baharu yang kreatif dan berpotensi menyesuaikan seni pertukangan dengan cita rasa serta teknologi masa kini, bagaimanapun tidak ramai yang sanggup menceburi bidang yang menuntut ketekunan, kesabaran dan komitmen tinggi ini.

Tidak berputus asa, Yong berkata jenama berasaskan piuter itu terus berusaha menarik minat generasi muda melalui koleksi moden dan reka bentuk yang dekat dengan budaya popular termasuk edisi terhad seperti Star Wars, Marvel dan koleksi zodiak. 

pic-4

Menerusi program berkenaan, Royal Selangor turut melancarkan 12 koleksi baharu bagi musim Autumn/Winter 2025, menampilkan gabungan warisan tempatan, reka bentuk moden dan inspirasi antarabangsa, antaranya Koleksi Silk Road  yang meraikan keindahan warisan sebagai simbol pertukaran budaya antara Timur dan Barat.

“Kami terinspirasi oleh kecekalan masyarakat Cina purba yang berdagang dari padang pasir Dunhuang hingga  Florence dan Milan sejak lebih 2,000 tahun lalu. Semangat dan ketekunan itu mencerminkan nilai yang sama kami bawa dalam setiap rekaan piuter,” katanya.

Koleksi lain termasuk Keepsakes, 2026 Years of the Horse, Malaysiana II, Warisan II, Savoy II, Sculptura III, Woodland IV serta edisi khas Melon Teapots dan koleksi berlesen Spiderman serta Superman hasil kerjasama dengan artis komik terkenal Jim Lee.

pic-5

Royal Selangor juga menurut Yong, bakal membuka galeri pelancongan di Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka seluas 8,000 kaki persegi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), menempatkan ruang pameran, kafe serta bengkel interaktif bagi memberi peluang pengunjung merasai pengalaman mencipta piuter.

“Kami mahu menjadikan piuter sebahagian daripada pengalaman pelancongan bandar, dan galeri ini dijangka dibuka pada Januari 2026,” katanya sambil menambah Royal Selangor kini menembusi pasaran luar negara termasuk China, Singapura, Indonesia dan United Kingdom serta bakal memasuki pasaran Vietnam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487304