DUNIA

Presiden Turkiye Erdogan Kecam Pembunuhan Orang Awam Di El-Fasher, Sudan

03/11/2025 07:50 PM

ISTANBUL, 3 Nov (Bernama-Anadolu) -- Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Isnin mengecam pembunuhan beramai-ramai di El-Fasher, Sudan, sambil menegaskan bahawa keutuhan wilayah dan kedaulatan negara Afrika itu perlu dipertahankan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Tiada insan berhati nurani boleh menerima pembunuhan terhadap orang awam di El-Fasher, Sudan, sejak beberapa hari kebelakangan ini. Kita tidak boleh berdiam diri terhadap perkara ini,” kata Erdogan dalam ucapan pembukaan sesi ke-41 Jawatankuasa Tetap bagi Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul.

Beliau menegaskan bahawa keutuhan wilayah, kedaulatan dan kemerdekaan Sudan perlu dipelihara serta penting untuk berdiri bersama rakyat Sudan.

Menyentuh mengenai perang di Gaza, pemimpin Turkiye itu berkata kumpulan Palestin Hamas dilihat sangat bertekad untuk mematuhi perjanjian gencatan senjata, manakala Israel mempunyai rekod yang amat buruk.

Menurutnya, Israel telah membunuh lebih 200 orang tidak bersalah sejak perjanjian gencatan senjata Gaza dikuatkuasakan, dan masih belum menghentikan penjajahan serta serangan di Tebing Barat.

“Kita tidak boleh membenarkan sebarang usaha untuk menakluk Tebing Barat, mengubah status Baitulmaqdis atau mencemari kesucian Masjid Al-Aqsa,” kata Erdogan.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486740