Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 5 Nov (Bernama) -- Jutaan penduduk di Subwilayah Mekong Raya yang dilanda cuaca buruk menyambut kedatangan November dengan pelbagai perayaan yang menandakan berakhirnya musim monsun serta permulaan musim menuai, perjalanan dan ketenangan.
Dari Laos, Myanmar hingga Thailand, jalan dan kuil diterangi perarakan lilin, pelepasan belon udara panas, persembahan di sungai serta pesta tradisional apabila komuniti berkumpul meraikan acara keagamaan dan adat dalam suasana kemasyarakatan.
“Berakhirnya musim monsun membuka peluang untuk penganjuran perayaan besar, namun makna dan waktunya ditentukan oleh kalendar keagamaan utama (bulan penuh).
“Ia adalah satu bentuk mendalami konsep membuat kebajikan dalam ajaran Buddha, tanda kesyukuran atas hasil tuaian serta penghormatan terhadap kitaran semula jadi yang memberi kehidupan,” kata Ketua Biara Unnalom yang berpusat di Phnom Penh, Dr Yon Seng Yeath kepada Bernama.
Penduduk Laos meraikan Pesta That Luang selama seminggu yang terkenal dengan perarakan istana lilin, acara kebudayaan dan pesta perdagangan.
Di Myanmar, rakyat sibuk menganjurkan Pesta Tazaungdaing yang disambut dengan pelbagai acara keagamaan dan tradisional di seluruh negara.
Pertandingan belon udara panas, penyalaan lilin dan pelita minyak, perlumbaan kereta lembu tradisional, pertandingan kecantikan lembu, pertandingan menenun jubah serta upacara pemberian jubah Kathina menjadi tarikan utama yang menceriakan penduduk, khususnya di luar bandar.
Di negara jiran Thailand, para pengunjung festival sedang bersiap sedia menyambut perayaan Loi Krathong yang paling dinantikan dalam beberapa hari lagi bagi menghormati dewi air.
“Ia melambangkan perpaduan komuniti. Cuaca nyaman selepas monsun menggalakkan perhimpunan berskala besar, membolehkan masyarakat bersatu, memelihara tradisi budaya melalui muzik, tarian dan upacara serta mengukuhkan hubungan sosial.
“Pesta keagamaan dan awam utama ini membawa kegembiraan besar serta memainkan peranan penting dari segi psikologi dan sosial di negara-negara yang sering dilanda bencana alam, terutamanya tekanan dan kerosakan tahunan akibat banjir monsun dan taufan,” kata Seng Yeath.
Bagaimanapun, sambutan Bon Om Touk atau Pesta Air bagi menandakan berakhirnya musim monsun telah dikecilkan sebagai tanda hormat kepada mereka yang terjejas akibat konflik sempadan Kemboja-Thailand.
Perlumbaan perahu naga tahunan yang biasanya menjadi tumpuan ramai di Phnom Penh turut dibatalkan.
Vietnam pula masih berdepan kesan Taufan Kalmaegi yang melanda bahagian tengah negara itu, dengan sekurang-kurangnya 40 orang dilaporkan terkorban dalam beberapa hari kebelakangan ini akibat banjir besar.
Subwilayah Mekong Raya merangkumi negara di sepanjang Sungai Mekong - China (Wilayah Yunnan dan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang), Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam - yang menjadi tempat tinggal kira-kira 300 juta penduduk.
Pertanian dan perikanan merupakan sumber utama kehidupan komuniti ini yang terjejas akibat hujan lebat, ribut kencang, banjir serta tanah runtuh yang memusnahkan mata pencarian dan infrastruktur dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
-- BERNAMA