DUNIA

AS Komited Pastikan Pelaksanaan Perjanjian Damai KL

03/11/2025 07:24 PM

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) berusaha memperkukuh penglibatan dengan pihak-pihak dalam Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja bagi meningkatkan kerjasama dan menyelesaikan perbezaan secara aman.

Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan menegaskan bahawa usaha itu bertujuan memastikan semua terma yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dilaksanakan sepenuhnya.

“Kami telah menjelaskan kepada kedua-dua pihak bahawa kami menjangkakan mereka melaksanakan sepenuhnya semua terma perjanjian dan menggalakkan mereka mencari jalan untuk menyelesaikan perbezaan secara aman serta memastikan konflik seperti ini tidak berulang,” katanya kepada Bernama selepas muncul sebagai tetamu dalam program Bernama TV.

Pada majlis yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 27 Okt, Kemboja dan Thailand menandatangani Perjanjian Damai KL, satu perjanjian gencatan senjata bersejarah yang diusahakan oleh Malaysia dengan kerjasama AS.

Perjanjian itu secara rasmi menamatkan permusuhan antara Kemboja dan Thailand di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, sekali gus membuka jalan untuk memperkukuh usaha keamanan jangka panjang dan memupuk kepercayaan bersama antara kedua-dua negara.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS Donald Trump menjadi saksi pemeteraian perjanjian itu.

Kagan berkata perjanjian itu menyerlahkan usaha bersama AS dan Malaysia dalam menangani konflik serantau serta memperkukuh kerjasama ekonomi.

“Kami mempunyai pasukan perunding AS yang berada di sini bagi mengadakan siri perbincangan dengan pihak Thailand dan Kemboja serta rakan sejawat dari Malaysia.

“Kami menyaksikan kerjasama yang amat rapat antara Amerika Syarikat dan Malaysia. Saya fikir ia benar-benar membuka mata kedua-dua pihak,” katanya.

Kemboja dan Thailand telah lama berselisih mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan ketegangan terbaharu membawa kepada konfrontasi tentera pada 24 Julai.

Susulan campur tangan Anwar selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia menganjurkan mesyuarat di Putrajaya antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand ketika itu, Phumtham Wechayachai pada 28 Julai, yang membawa kepada kejayaan meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara jiran itu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486731