AM

105 Koleksi Warnai Pameran Fabrik ASEAN Di Muzium Negara - Aaron

05/11/2025 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Sebanyak 105 koleksi yang menampilkan tekstil tradisional, bahan tenunan, alat tenun dan kostum masyarakat serantau mewarnai Pameran Fabrik ASEAN: Keabdian Tenunan di Muzium Negara dari 20 Okt hingga 31 Dis ini. 

Pameran anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia itu berlangsung di Galeri 2, Muzium Malaysia di sini sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. 

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pameran itu bukan sekadar mempamerkan keindahan seni dan kehalusan pertukangan tetapi juga melambangkan diplomasi warisan budaya ASEAN.

“Pameran melibatkan koleksi dari 10 negara ASEAN ini menggambarkan bagaimana seni, sejarah dan tradisi menjadi jambatan antara negara... melalui fabrik, kita bukan sekadar menenun corak tetapi menenun kepercayaan, persahabatan dan saling menghormati.

“Seni tenunan ini, yang diwarisi sejak zaman nenek moyang, kini menjadi koleksi berharga yang dikumpul dan dipelihara oleh para penggiat serta pengumpul seni… kita menyasarkan 20,000 pengunjung dengan kemasukan adalah percuma,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pameran itu di sini hari ini. 

Pameran itu menampilkan empat segmen utama yang membawa pengunjung menelusuri warisan tekstil ASEAN, proses pembuatan kain, keindahan motif dan cabaran mengekalkan seni tenunan dalam dunia moden.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan perasmian berkata pameran tersebut bukan sahaja menampilkan keindahan warisan tekstil ASEAN tetapi juga mengumpulkan semangat kebersamaan dan persaudaraan rantau ini. 

“Saya yakin semangat kerjasama ini akan terus memperkukuh hubungan budaya dan memupuk rasa perpaduan yang lebih mendalam dalam kalangan negara ASEAN, menukar benang-benang biasa yang digunakan dalam tenunan sebagai kisah yang tersebar di seluruh dunia dan terus hidup dari satu generasi ke generasi seterusnya.

“Kesemua fabrik hasil tenunan sejarah ini, setiap satunya menggabungkan kreativiti serta identiti bagi mewujudkan dialog yang jelas antara tradisi dan inovasi… ia lebih daripada sekadar kain, ia adalah pautan nyata daripada tangan penenun terus ke hati komuniti dan rakyat kita yang mengumpulnya... ia merupakan sebahagian daripada rasa kagum setiap kali kita melakukannya sebagai cara hidup,” katanya. 

Majlis itu turut diserikan dengan peragaan fesyen oleh pereka Zachrin Jaafars yang menampilkan keindahan koleksi tradisional ASEAN manakala Wan Azizah menyampaikan sijil kepada penderma koleksi sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam merealisasikan pameran tersebut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487368