EKONOMI

Unit Eversendai Mulakan Kerja Fabrikasi Bagi Projek LanWin2

23/10/2025 11:49 AM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Eversendai Offshore telah memulakan kerja-kerja fabrikasi bagi projek LanWin2 yang diperoleh sebelum ini daripada Dragados Offshore, Sepanyol, bersama-sama dengan projek BalWin3 dan LanWin4.

Unit Eversendai Corporation Bhd itu bersama dengan TenneT, Dragados Offshore dan Siemens Energy, telah meraikan majlis pemotongan keluli pertama LanWin2 di fasiliti tepi laut Eversendai di Ras Al Khaimah, Emiriah Arab Bersatu pada 18 September 2025, katanya dalam kenyataan.

Acara itu menjadi permulaan bagi pembuatan blok keluli untuk bahagian timur dan merupakan sebahagian daripada usaha peralihan tenaga boleh baharu Jerman.

Kejayaan meraih projek itu telah diumumkan pada awal tahun ini.

Syarikat yang juga pakar keluli struktur itu berkata skop kontrak berkenaan merangkumi perolehan, kejuruteraan, fabrikasi, pembinaan, kerja pengecatan dan pemuatan blok bagi platform pengubah luar pesisir berkapasiti dua gigawatt (GW) untuk sambungan grid luar pesisir TenneT Germany.

“Eversendai komited dalam melaksanakan projek dengan piawaian kualiti dan keselamatan tinggi selain terus meningkatkan penyertaannya dalam sektor tenaga boleh baharu luar pesisir di masa depan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481857