AM

Penyasaran Subsidi Diesel Sumbang Penurunan Hampir 70 Peratus Kes Di Perlis

05/11/2025 03:06 PM

KANGAR, 5 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan tindakan penguatkuasaan berterusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis berjaya menyumbang kepada penurunan hampir 70 peratus kes di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 di negeri itu tahun ini.

Pengarah KPDN Perlis Rohaida Hassan berkata setakat 31 Okt lepas, sebanyak 30 kes di bawah AKB 1961 direkodkan tahun ini berbanding 99 kes bagi tempoh sama pada 2024 menerusi hasil pemantauan rapi dan operasi bersepadu bersama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan.

“Penurunan ini menunjukkan keberkesanan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dalam mengawal penyelewengan subsidi, selain meningkatkan kesedaran peniaga terhadap kepentingan mematuhi undang-undang perdagangan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra bersempena dengan Program Pasar Patuh (3P) di Pasar Awam Kuala Perlis, dekat sini hari ini.

Berhubung pemantauan dan penguatkuasaan petrol RON95, Rohaida berkata setakat ini lebih 700 pemeriksaan dilakukan di 39 stesen minyak di seluruh Perlis bagi memastikan penjualan petrol itu mematuhi piawaian ditetapkan dan hanya disalurkan kepada penerima yang layak.

“Setakat ini, kita hanya menerima satu aduan berkaitan pengisian minyak ini dan hasil pemeriksaan mendapati pam di stesen berkenaan masih mematuhi piawaian,” katanya.

Rohaida turut menasihati pengguna di negeri itu yang mempunyai lesen dan layak menerima subsidi BUDI RON95 supaya tidak membenarkan kad pengenalan mereka digunakan oleh individu lain untuk menuntut subsidi minyak.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan program 3P di Pasar Awam Kuala Perlis itu merupakan usaha KPDN memperkukuh budaya pematuhan perniagaan tempatan dengan menggabungkan tiga cabang utama, iaitu penguatkuasaan legalistik, bestari dan berhemah.

“Melalui program ini, kita mahu peniaga mempunyai kesedaran sendiri tentang pentingnya mematuhi peraturan seperti meletakkan tanda harga dan memastikan alat timbang disahkan supaya pengguna mendapat hak mereka,” katanya.

Rohaida berkata pelaksanaan program itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi antaranya Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Beliau berkata pendekatan rentas agensi itu penting bagi memperkukuh tadbir urus perdagangan serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang tersusun, beretika dan adil kepada pengguna.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487392