KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hanya memberi tumpuan kepada isu teknikal kurang kritikal dan mengejar kes berprofil tinggi tanpa impak langsung kepada rakyat.
Beliau berkata MyCC menumpukan penyiasatan dan penguatkuasaan terhadap tiga jenis kartel utama iaitu tipuan bida dalam perolehan kerajaan, kartel dalam industri makanan dan produk pertanian serta kartel dalam perkhidmatan asas pengguna.
Armizan berkata bagi kartel penetapan harga, MyCC telah mengambil tindakan tegas antaranya terhadap lima syarikat yang terlibat dalam penghasilan dedak ayam dengan syarikat terbabit telah dikenakan penalti kewangan sebanyak RM550.13 juta.
“MyCC juga mengambil tindakan terhadap 150 penjual bunga di Cameron Highlands, 24 pengilang ais di Kuala Lumpur dan Selangor, tujuh pengusaha pusat tuisyen dan jagaan harian serta 22 syarikat insurans am,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi kartel tipuan bida, Armizan berkata MyCC telah mengambil tindakan antaranya terhadap lapan vendor teknologi maklumat (IT) yang terlibat dalam perolehan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), tujuh pembekal peralatan penyelamat nyawa dalam perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia, lapan kontraktor dalam perolehan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran serta tiga kontraktor pengurusan fasiliti dalam perolehan di Perbadanan Putrajaya.
Beliau berkata ini melibatkan nilai perolehan sebanyak RM539.7 juta dengan jumlah keseluruhan penalti terhadap syarikat-syarikat itu berjumlah RM97.3 juta.
Selain itu, Armizan berkata MyCC juga mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan kedudukan dominan terhadap syarikat yang menyalahgunakan kuasa monopoli dalam pasaran insurans pas lawatan kerja sementara pekerja asing dengan penalti yang dikenakan berjumlah RM9.6 juta.
Sementara itu, beliau berkata jumlah kes penyelewengan bahan api RON95 menunjukkan penurunan selepas pelaksanaan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), hasil pemantauan melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
“Laporan menunjukkan terdapat penurunan dalam kes petrol RON95 dengan 61 kes melibatkan 17,724 liter disita bagi tempoh 30 Sept hingga 29 Okt 2025, berbanding 71 kes dengan 32,229 liter disita bagi tempoh 31 Ogos hingga 29 Sept tahun ini,” katanya.
-- BERNAMA