KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Pemain boling padang negara Emma Firyana Saroji mara ke perlawanan akhir acara singles wanita pada Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 selepas menumpaskan wakil Australia Dawn Hayman hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara di sini, Emma Firyana bermula goyah apabila kalah set pertama namun bangkit apabila menang set kedua untuk mengheret perlawanan ke pusingan penentuan.
Pada pusingan penentuan atlet berusia 39 tahun itu nyata lebih tenang, membolehkan beliau mara ke perlawanan akhir dengan keputusan 2-1.
“Kalau ikutkan prestasi saya turun naik sebab masih mencari momentum yang terbaik untuk kejohanan ini.
“Alhamdulillah segala perancangan yang dijalankan hari ini menjadi dan akhirnya berjaya ke final,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu, hasrat seorang lagi wakil Malaysia Nurul Alyani Jamil untuk mengikut jejak langkah rakan senegara ke final tidak kesampaian apabila tewas 2-0 di tangan wakil England Katherine Rednall
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Nurul Alyani berpuas hati dengan pingat gangsa.
“Saya berharap dapat mengubah warna pingat ini apabila turun dalam acara pairs wanita yang bermula esok,” kata Nurul Alyani yang akan berpasangan bersama Emma Firyana.
Bagi acara pairs lelaki, cabaran Malaysia berakhir selepas gandingan Izzat Shameer Dzulkeple-Soufi Rusli menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan keempat.
-- BERNAMA