JENAYAH & MAHKAMAH

328 Pegawai, Anggota APM Melaka Siap Siaga Hadapi Monsun Timur Laut

05/11/2025 08:50 PM

MELAKA, 5 Nov (Bernama) -- Sebanyak 328 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka kini dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), yang sering menyebabkan bencana banjir di kawasan rendah.

Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata jumlah itu membabitkan 41 pegawai serta 287 anggota dan bersedia untuk digerakkan sepanjang musim tengkujuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutama bencana banjir dan kejadian ribut.

Beliau berkata latihan telah dilaksanakan sebelum ini selain agensi itu turut melakukan penyelenggaraan aset bagi menghadapi MTL yang dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.

“Selain kesiapsiagaan pegawai dan anggota, kesemua aset APM melibatkan lima trak, 12 pacuan empat roda, 34 bot dan 14 ambulans berada dalam keadaan baik.

“Kami juga melaksanakan pelbagai latihan termasuk pengendalian bot dan enjin, latihan pertolongan cemas, latihan menyelamat serta pengendalian peralatan operasi,” katanya selepas Program APM Melaka bersama Media 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarulsyah berkata bagi memastikan kesiapsiagaan berada di tahap optimum, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka juga mengadakan mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

“Mesyuarat itu antara lain mengarahkan semua agensi tindak balas, penyelamat serta agensi bantuan bencana memastikan kelengkapan logistik dan aset berada dalam keadaan baik serta boleh digerakkan pada bila-bila masa. 

“APM sebagai Sekretariat Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah serta agensi penyelamat turut bekerjasama erat dengan agensi lain dalam memastikan pengurusan serta penyelamatan berjalan lancar.

“Ini secara tidak langsung memudahkan operasi penyelamatan dan pengurusan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) serta agihan bantuan,” katanya.

Beliau berkata APM turut menyertai latihan simulasi pengurusan bencana anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka di Alor Gajah pada Oktober lepas bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan.

Dalam pada itu, beliau berkata APM Melaka mencapai sasaran pengambilan tahunan sebanyak 440 anggota sukarelawan baharu termasuk pelajar institusi pengajian tinggi bagi tahun ini yang telah menjalani Kursus Asas Pertahanan Awam selama tiga hari dua malam.

“Setiap anggota sukarelawan juga menjalani latihan bulanan di pejabat daerah dan unit APM bagi memperkukuh kemahiran termasuk bantuan kecemasan, penggunaan alat defibrilator luaran automatik (AED), kawalan kebakaran kecil serta pengendalian peralatan operasi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487586