JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Tahan Empat Warga Asing Ceroboh Pelantar Minyak

04/11/2025 11:34 PM

KUALA TERENGGANU, 4 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat lelaki warga Indonesia kerana menceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni di kedudukan 139 batu nautika Timur Laut Kuala Kemaman, Kemaman pada Ahad lepas.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata tangkapan itu dilakukan kira-kira 10.30 pagi susulan aduan diterima daripada sebuah syarikat minyak dan gas tempatan yang juga pemilik pelantar berkenaan pada 31 Okt lepas.

Beliau berkata sejurus menerima aduan, pihaknya telah menggerakkan KM Sebatik ke lokasi pelantar kira-kira 1 pagi Sabtu lepas dan hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa kabel telah dipotong namun tiada individu ditemukan di atas pelantar pada hari pertama operasi.

"Bagaimanapun pemeriksaan yang dijalankan pada hari berikutnya (2 Nov) mendapati kabel yang dipotong sehari sebelumnya telah digulung dan disusun rapi.

"Pemeriksaan menyeluruh akhirnya berjaya menemukan empat lelaki Indonesia berusia antara 27 hingga 62 tahun sedang bersembunyi di ruang pengudaraan. Turut dijumpai beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel elektrik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Halim berkata suspek yang mengaku menaiki pelantar tersebut untuk mencuri kabel telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat.

Beliau menegaskan bahawa pihak APMM akan sentiasa mempertingkatkan kawalan dan rondaan bagi memastikan keselamatan aset strategik negara daripada sebarang bentuk pencerobohan.

"Komuniti maritim juga diminta memberi kerjasama dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku aktiviti haram atau mencurigakan di laut," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487243