SHAH ALAM, 6 Nov (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melancarkan koleksi barang kemas terbaharu siri Anggun ‘Pesona Tanjung’ Poh Kong di ibu pejabat kemudahan pembuatan utamanya di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Tengku Permaisuri Selangor pada 10.30 pagi disambut Pengarah Urusan Poh Kong Jewellery Manufacturer Sdn Bhd Christine Choon serta pengurusan tertinggi syarikat.
Baginda kemudiannya berkenan melancarkan koleksi barang kemas Anggun ‘Pesona Tanjung’ serta menandatangani plak pelancaran barangan perhiasan itu.
Siri Anggun ‘Pesona Tanjung’ merupakan koleksi terbaharu Poh Kong, iaitu barisan rekaan istimewa meraikan keanggunan, kekuatan dan keayuan wanita di seluruh Asia.
Diilhamkan daripada bunga rasmi Selangor iaitu bunga tanjung (mimusops elengi), koleksi baharu itu menzahirkan sembilan kelopaknya sebagai lambang perpaduan, kesucian dan ketabahan, sekali gus mencerminkan keharmonian antara warisan budaya Malaysia serta kepakaran Poh Kong dalam seni pertukangan moden.
Terdahulu, Christine dalam sembah ucapannya berkata koleksi Anggun itu mencerminkan keharmonian yang diilhamkan oleh keindahan, keanggunan dan kekuatan wanita serta direalisasikan melalui kemahiran para tukang mereka.
“Selama lebih 40 tahun, Poh Kong telah menggabungkan seni pertukangan emas dengan warisan budaya Malaysia.
“Menjelang ulang tahun ke-50 Poh Kong pada tahun hadapan, kami berasa bangga terhadap insan-insan yang telah membina legasi ini dan terus membentuk perjalanan gemilang Poh Kong,” katanya dan menambah pihaknya turut berbesar hati atas keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor mencemar duli sempena pelancaran koleksi baharu itu.
-- BERNAMA