KUCHING, 14 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak pagi ini tidak berubah sejak petang semalam iaitu sebanyak 1,603 orang daripada 498 keluarga.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan sembilan PPS masih beroperasi melibatkan kawasan Serian, Sibu, Bintulu dan Sebauh.
Bahagian Serian mencatatkan jumlah PPS tertinggi dengan bilangan mangsa paling ramai iaitu 448 mangsa di Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh, Dewan Masyarakat Serian (311), Dewan Ranchan (113), Dewan Kampung Slabi Entukuh (57) dan Stadium Tertutup Bola Keranjang (95).
“Di Sibu pula, enam mangsa ditempatkan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek, manakala di Bintulu terdapat 237 mangsa ditempatkan di Dewan Suarah Bintulu.
“Di Sebauh pula, 150 mangsa ditempatkan di Balai Raya Sebauh dan 186 mangsa di Dewan Sri Kemena, SMK Sebauh,” menurut kenyataan itu.
Bencana banjir di Sarawak kali ini bermula pada 31 Dis tahun lepas, apabila beberapa kawasan di sekitar bandar raya Kuching dinaiki air susulan hujan lebat berterusan.
-- BERNAMA