GAYA HIDUP

Pulau Rawa Jadi Lokasi Sempurna Rehatkan Minda Dari Kesibukan Kerja

08/11/2025 11:37 AM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

MERSING, 8 Nov (Bernama) -- Mungkin pulau kecil ini tidak sepopular pulau peranginan lain di negara ini, namun Pulau Rawa yang tersembunyi di perairan Mersing tetap menyerlah sebagai permata berharga buat Johor, dambaan bagi mereka yang inginkan ketenangan dan lari seketika dari hiruk-pikuk kota. 

Dikenali sebagai ‘Maldives Malaysia’, pulau tropika yang menawarkan suasana begitu privasi ini sememangnya tersohor dengan keindahan alam semula jadinya yang dikatakan hampir menyamai pesona pulau terkenal di Lautan Hindi itu dengan kejernihan air laut biru kehijauan serta hamparan pasir putihnya.

Terletak kira-kira 30 minit perjalanan bot dari jeti Mersing, panorama Pulau Rawa yang berhampiran dengan beberapa pulau pelancongan lain seperti Pulau Sibu dan Pulau Tinggi ini, hakikatnya benar-benar mempersonakan penulis sehingga terpaku seketika tatkala menikmati keindahan permata negeri ini. 

pic-2

Berpeluang menjejakkan kaki di sini semasa menyertai Famtrip Majestic Johor Bersama Media baru-baru ini, membuatkan penulis tidak mahu mensia-siakan kesempatan yang ada selama dua hari untuk meneroka setiap sudut pulau yang kaya dengan pesona alam semula jadi ini.

Memulakan pengembaraan merungkai keistimewaan permata negeri ini dengan menerokai keunikan dasar lautan yang dipenuhi terumbu karang berwarna-warni serta ikan kecil berkejaran di celah ekosistem marin dengan aktiviti snorkeling, sememangnya sangat mengujakan serta membangkitkan adrenalin penulis.

Biarpun mengalami sedikit luka dan calar di bahagian kaki akibat terlanggar terumbu karang tatkala  asyik dibuai dengan keunikan khazanah alam itu, pengalaman yang sukar diperoleh ini mengatasi segalanya apabila dapat menyelami sendiri panorama Maldives Malaysia yang begitu memukaukan ini. 

pic-3

Istimewanya, permata negeri Johor ini tidak sekadar menambat hati pelancong tempatan yang cintakan percutian mendamaikan, akan tetapi juga menurut Pengurus Resort Pulau Rawa Syed Akhmad Syed Jaffar, Pulau Rawa turut menjadi antara destinasi popular dalam kalangan pengunjung antarabangsa. 

“Keindahan pulau ini turut menarik perhatian pelayar antarabangsa yang singgah seketika di pulau ini. Misalnya, baru-baru ini ada pasangan dari Australia yang berlayar dari Thailand dan singgah di sini beberapa jam sebelum mereka meneruskan kembali pelayaran. 

“(Ketika berehat sebentar) Mereka kagum dengan kejernihan air laut dan suasana tenang di Pulau Rawa yang (dikatakan mereka) sukar didapati di tempat lain,” katanya sambil menambah tarikan utama pengunjung di pulau itu adalah gelongsor air ikonik serta aktiviti kayak bersama-sama keluarga dan rakan. 

pic-4

Mempunyai dua papan gelongsor berhampiran jeti sama ada berbentuk lurus, rendah serta berliku-liku tinggi, keunikan aktiviti santai sepertimana di kebanyakan taman tema air ini menambahkan lagi daya tarikan Pulau Rawa sebagai destinasi percutian yang begitu menakjubkan.

Selain  meneroka keindahan ekosistem marin, Syed Akhmad berkata pelbagai aktiviti lain boleh dilakukan pengunjung antaranya, menikmati panorama matahari terbit yang sukar diungkapkan dengan kata-kata selepas mendaki bukit selama kira-kira 30 minit seawal 6 pagi.

Menurutnya, aktiviti mendaki yang dilakukan di bahagian belakang resort itu antara pengalaman yang sering dinantikan pelancong kerana berpeluang melihat sendiri keindahan Pulau Rawa dan Laut China Selatan dari sudut yang berbeza terutamanya dari kawasan yang tinggi.

pic-5

Keaslian alam semula jadi Pulau Rawa yang masih utuh dengan kehijauan hutan, bukit-bukau dan flora tropika, menjadikannya juga lokasi ideal untuk aktiviti jelajah hutan, pemerhatian alam serta penyelidikan bagi mereka yang menghargai kedamaian alam.

Justeru, Syed Akhmad berkata kelestarian Pulau Rawa amat dititikberatkan bagi memastikan keindahan dan keaslian alam semula jadinya terus terpelihara untuk dinikmati generasi akan datang serta kekal sebagai ‘Maldives Malaysia’ dan permata berharga buat negeri ini.

pic-6

Bagi tujuan itu, pihaknya sentiasa melaksanakan pemeriksaan kualiti air laut setiap tiga bulan sekali untuk memastikan kebersihan perairan dan keseimbangan hidupan marin tidak terjejas dengan aktiviti pelancongan di pulau tersebut.

“Perkara itu mungkin nampak remeh tetapi ia (sebenarnya) penting sebab kami nak memastikan aktiviti pelancongan tidak menjejaskan kelestarian pulau ini biarpun menerima kehadiran pelawat yang begitu ramai. 

“Kita juga turut berhubung rapat dengan pihak marin bagi memantau sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan terumbu karang,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488431