Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
KULAI, 3 Nov (Bernama) -- Gabungan aroma kopi Arabica dan rasa lemak manis buah berangan menjadikan kopi Berangan Latte antara tarikan istimewa di kopitiam Kelab Kopi Lama yang terletak di bandar Kulai ini.
Menu istimewa itu bukan sekadar untuk mencipta kelainan, tetapi menjadi pilihan buat pelanggan yang ingin menikmati cita rasa moden dengan sentuhan tradisional.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Kopi Lama Nur Syazwani Mohd Hassan berkata idea menghasilkan minuman kopi berperisa buah berangan itu tercetus daripada usaha memperkenalkan ramuan tempatan kepada generasi muda melalui hidangan berasaskan kopi.
pic-2
“Buah berangan mempunyai rasa unik seperti rasa kekacang dan bau aromanya wangi. Kami mahu pelanggan merasai sesuatu yang baharu namun masih dekat dengan budaya tempatan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Beliau berkata minuman itu ketika ini hanya dihidangkan di Kelab Kopi Lama di Jalan Susur Kulai 3 yang merupakan cawangan kedua yang baru dibuka.
Dalam pada itu, Nur Syazwani berkata kopitiam milik bumiputera itu menawarkan pelbagai jenis kopi tradisional dan premium dengan harga yang berpatutan.
pic-3
"Terdapat dua jenis biji kopi yang kita guna, iaitu biji kopi Nanyang untuk kopi tradisional dan biji kopi Arabica bagi kopi premium," katanya.
Menurutnya kopitiam itu turut menghidangkan hampir 100 menu dengan mengetengahkan aneka makanan tradisional Johor seperti laksa johor, mi rebus, roti bakar arang, lempeng dan sate.
Sentuhan reka dalaman berkonsepkan moden dan tradisional juga katanya menjadi penambah daya tarikan kopitiam tersebut.
pic-4
"Justeru itu, kopitiam ini bukan sahaja menyediakan ruang selesa bagi pelanggan, tetapi juga sesuai untuk dijadikan tempat diadakan majlis-majlis," katanya.
Nur Syazwani berkata premis pertama yang dibuka di Kempas, Johor Bahru pada 21 Mei 2021 lepas, menerima sambutan yang menggalakkan termasuk pengunjung dari Kuala Lumpur dan Singapura.
pic-5
Justeru itu, beliau mengharapkan pembukaan premis kedua itu akan menerima sambutan sama, sekali gus menjadikan kopitiam milik bumiputera tersebut sebagai lokasi kulinari pilihan menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut merancang memperluas rangkaian Kelab Kopi Lama ke beberapa kawasan lain seperti Pasir Gudang, Iskandar Puteri dan Kota Tinggi bagi memperkenalkan lagi hidangan kopi dan makanan berasaskan cita rasa tempatan.
Kelab Kopi Lama di Kulai beroperasi setiap hari dari 7.30 pagi hingga 12 tengah malam bagi Ahad hingga Khamis, sementara Jumaat dan Sabtu dari 7.30 pagi hingga 1 pagi.
-- BERNAMA