Oleh Anis Nabilla Md Wazilah
JERANTUT, 1 Nov (Bernama) -- Laluan berlecak, cerun curam dan licin dekat Taman Negara di sini bukan sekadar mencabar ketahanan fizikal, malah menjadi medan sebenar yang menguji mental, semangat juang dan nilai kemanusiaan setiap peserta Malaysia-Taman Negara Ultra (MTNU) 2025 baru-baru ini.
Lebih 1,200 pelari dari 15 negara berhimpun bagi menakluki jarak sejauh 15 hingga 100 kilometer (km), namun bagi kebanyakan mereka, acara ini bukan tentang mengejar kemenangan semata-mata, sebaliknya merasai pengalaman mencabar diri sambil membantu rakan seperjuangan menelusuri kawasan alam semula jadi yang mendebarkan itu.
pic-2
Sebagai peserta yang kali pertama menyertai acara seumpama ini bagi kategori 15 km, penulis pada mulanya dipenuhi debaran sebelum berdepan detik getir apabila terpaksa menuruni laluan berbukit yang licin dan berlumpur, sehingga beberapa kali terjatuh.
Dalam saat mencemaskan itu, beberapa anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang yang turut menyertai acara berkenaan berhenti dan secara spontan menghulurkan tangan memberi bantuan serta semangat kerana penulis hampir berputus asa.
Walaupun mereka juga peserta dan berada dalam keletihan, mereka masih peka dengan keadaan sekeliling dan tidak teragak-agak membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.
pic-3
Mereka tidak meninggalkan penulis yang keletihan semata-mata untuk mengejar “cut-off time”, sebaliknya mengutamakan semangat sepasukan..
Bagi penulis, inilah semangat sebenar yang harus ada dalam setiap peserta, bukan sekadar menamatkan larian, tetapi mengakhirinya bersama-sama dengan selamat, kerana perjalanan kami untuk acara berkenaan terhenti serentak di “checkpoint” pertama, gagal meneruskan acara dalam tempoh masa ditetapkan.
Pengalaman serupa dikongsi oleh penjawat awam Azmatun Semaun, 46, yang menyertai acara itu dengan niat bersantai dan menikmati pengalaman, bukannya mengejar kedudukan atau kemenangan.
Menurut Azmatun penyertaannya pada saat akhir bersama-sama beberapa rakan lebih kepada mengisi masa lapang serta memberi sokongan, sebagai tanda semangat kesukanan dan kerjasama dalam kumpulan.
“Laluan yang berlumpur, curam dan berbukit membuatkan ada antara kami berdepan kesukaran serta kepenatan untuk meneruskan larian. Di sinilah pentingnya rakan-rakan saling membantu dan memberi semangat, di samping kita sendiri perlu kuat dari segi mental untuk teruskan perjalanan.
pic-4
“Bila menyertai acara seperti ini, barulah kita sedar sejauh mana kemampuan diri, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga kekuatan minda dan semangat juang,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, pengarah acara larian itu Rasdan Salleh berkata MTNU 2025 menawarkan empat kategori larian iaitu 100 km, 50 km, 30 km dan 15 km melibatkan 1,216 peserta dari 15 negara antaranya Filipina, Thailand, Vietnam, Jerman, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
pic-5
Beliau berkata acara yang dianjurkan bagi mempromosikan Taman Negara sebagai destinasi pilihan sukan lasak itu semakin mendapat sambutan dengan bilangan peserta meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu.
“Harapan saya supaya MTNU ini menjadi acara utama di negeri Pahang bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan bilangan peserta meningkat hingga 1,500 pada tahun depan,” katanya.
-- BERNAMA