AM

Jakim Salur Keseluruhan RM150 Juta Naik Taraf 1,250 Sekolah Agama Rakyat Tahun Ini

10/11/2025 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Kerajaan telah menyalurkan 100 peratus peruntukan sebanyak RM150 juta tahun ini untuk menyelenggara dan menaik taraf 1,250 sekolah agama rakyat (SAR) di seluruh negara, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 820 sekolah agama dan 430 premis Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) menerima manfaat melalui agihan RM87.07 juta manakala RM62.93 juta disalurkan kepada institusi pendidikan Islam lain yang terpilih.

“Bermula 2023 hingga 2025, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan khas Kerajaan Persekutuan berjumlah RM370 juta kepada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

“Sepanjang tempoh tersebut, jumlah peruntukan yang disalurkan ialah RM100 juta pada 2023, 2024 sebanyak RM120 juta dan RM150 juta pada 2025, nampak kenaikan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai jumlah bantuan disalurkan kepada SAR bagi 2025 pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Zulkifli berkata skop bantuan merangkumi aspek keselamatan, infrastruktur, pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik, penyelenggaraan bangunan serta sistem perpaipan, dan inisiatif itu akan diperkukuh pada tahun 2026.

Menjawab soalan tambahan Ahmad mengenai mekanisme bagi memastikan agihan seimbang antara sekolah agama di bandar dan luar bandar, beliau berkata bantuan disalur berdasarkan keperluan institusi bukan semata-mata lokasi untuk memastikan ia diterima oleh pihak yang benar-benar memerlukan.

Zulkifli berkata permohonan dibuat sendiri oleh institusi pendidikan Islam sebelum dinilai melalui peringkat jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa induk bagi memastikan ketelusan serta kesesuaian peruntukan.

Beliau berkata taburan bantuan disalurkan secara seimbang berdasarkan keperluan pelbagai kategori institusi merangkumi 76 pondok swasta, 274 tahfiz swasta, 820 sekolah agama dan 430 kelas KAFA di seluruh negara.

Menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai insiden 80 murid di Puchong tidak dapat menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Zulkifli berkata pengusaha sekolah agama swasta disaran memastikan institusi mereka berdaftar bagi menjamin kelayakan peperiksaan serta memelihara kebajikan dan keselamatan pelajar.

Mengenai bantuan khusus kepada sekolah agama swasta, beliau berkata sokongan melalui peruntukan RM150 juta telah memberi manfaat meluas manakala bantuan tambahan tertakluk kepada dasar negeri.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489026