AM

Kerajaan Negeri Hargai Belanjawan 2026 Kerajaan Pusat Sentuh Manfaat Kepada Kedah

10/11/2025 02:47 PM

ALOR SETAR, 10 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kedah hari ini merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas pengumuman peruntukan Belanjawan 2026 yang turut menyentuh manfaat kepada negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata beberapa projek keutamaan negeri telah disebut dalam belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat bulan lepas. 

“Alhamdulillah, Belanjawan 2026 kerajaan Persekutuan menzahirkan komitmen terhadap pembangunan negeri Kedah,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata beberapa projek disebut antaranya pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam dengan pelaburan bernilai RM2.7 bilion bakal menjadi hab pertumbuhan moden menghubungkan rantaian ekonomi, tenaga dan digital ASEAN.

Beliau berkata selain itu beberapa projek lain turut diluluskan antaranya Projek Takungan Air Pinggiran Sungai Karangan dan Projek Saliran Mesra Alam Taman Selasih di Kulim, Pembangunan Kuala Kedah Waterfront dan projek hakisan pantai di Pantai Leman di Kota Setar serta Rancangan Tebatan Banjir Sungai Temin dan Sungai Bata di Kubang Pasu. 

Sementara itu, Muhammad Sanusi memberitahu kempen Tahun Melawat Kedah 2025 bertemakan ‘Experience Kedah’ berjaya menarik 5.2 juta pelancong setakat Oktober lepas. 

“Pelbagai pencapaian telah diraih oleh Kedah Tourism. Penyertaan dalam Ekspo Dunia Osaka 2025 berjaya mempromosikan budaya, warisan dan pelancongan negeri Kedah dengan kehadiran 162,000 pengunjung di Pavilion Kedah,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489050