SINTOK, 10 Nov (Bernama) -- Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah di sini hari ini.
Ahmad, 59, antara 879 graduan yang menerima ijazah masing-masing pada sesi kedua majlis konvokesyen itu dengan pengurniaan ijazah itu disempurnakan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen itu, Ahmad menzahirkan kesyukuran atas kejayaan beliau memperoleh PhD selepas empat tahun bersusah payah menamatkan pengajian dan berterima kasih kepada keluarga termasuk isteri selain pensyarah serta penyelia dan rakan-rakan.
“Hari ini hari konvokesyen yang merupakan hari bersejarah kepada saya dan keluarga. Semoga ini sedikit sebanyak boleh dijadikan teladan bahawa mencari ilmu adalah satu usaha sepanjang hayat, pendidikan adalah usaha sepanjang hayat...dan mudah-mudahan ia menjadi inspirasi kepada ramai pihak, saya suka universiti ini,” katanya.
Ahmad berkata antara cabaran dihadapinya dalam tempoh pengajian empat tahun itu ialah semasa pandemik COVID-19 yang memerlukan beliau mengikuti kelas secara dalam talian, dan pada masa sama perlu menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Cabaran saya semasa COVID-19 saya kena kelas dalam talian. Masa saya balik kawasan kadang-kadang kena berhenti di R&R (kawasan Rehat dan Rawat) untuk mengikuti kuliah, selepas itu ada peperiksaan dua subjek utama iaitu Research Methodology dan Academic Writing.
“Alhamdulillah, kedua-dua subjek ini saya dapat A+, kemudian tentulah ada proses-prosesnya kena bentang kertas seminar antarabangsa, contohnya kena menulis, kemudian kena proposal defense, selepas itu kena buat Quantitative Analysis, menulis tesis, kemudian bertemu penyelia saya,” katanya.
Ahmad menarik perhatian penyelidikannya untuk menyelesaikan pengajian peringkat PhD itu mengenai komunikasi kerajaan berhubung kait dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Sementara itu, bekas tahanan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) Mohd Razin Razali juga antara graduan menerima ijazah daripada Raja Muda Kedah pada sesi kedua majlis konvokesyen berkenaan.
Mohd Razin, 35, yang merupakan graduan Sarjana Sains Pengurusan itu berkata dia ditahan reman di bawah undang-undang SOSMA pada 2022 yang kemudian dibebaskan pada April lepas, setelah mahkamah mendapati dia tidak bersalah.
“Semasa saya menjadi tahanan reman ini saya sudah berada pada semester kedua bagi pengajian ijazah sarjana.. Saya berterima kasih kepada UUM telah membantu saya mencapai impian dan berterima kasih kepada pihak Jabatan Penjara Malaysia yang membenarkan saya menyambung pengajian,” katanya.
Mohd Razin turut melahirkan rasa syukur apabila dapat menamatkan pengajiannya meskipun berhadapan cabaran antaranya daripada segi akses terhad bagi mendapatkan bahan rujukan ilmiah berkaitan bidang pengajian.
“Saya melalui pengajian yang tidak berada di dalam kampus dan tidak dapat untuk mengakses di perpustakaan tetapi saya dapat bantuan daripada penyelia yang banyak datang beri bahan-bahan untuk saya kaji dan membaca,” katanya yang turut merakamkan penghargaan terhadap ibunya kerana banyak memberikan dorongan dalam menamatkan pengajian.
Mohd Razin berkata rasa keinginan membuktikan tahanan dalam penjara masih boleh mempunyai impian dan diberikan peluang kedua untuk berjaya menjadi pendorong utama kepadanya menyambung pengajian dengan jayanya hingga berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Mohd Razin merancang untuk menyambung pengajian di peringkat PhD dalam bidang sama.
Sebanyak 6,832 graduan menerima ijazah masing-masing membabitkan sembilan sesi pada majlis konvokesyen yang bermula semalam hingga 13 Nov ini.
-- BERNAMA