SINTOK, 10 Nov (Bernama) -- Sekolah perlu memberikan penekanan kepada kepentingan melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dengan memberi sokongan dan bimbingan, khususnya untuk pelajar lelaki bagi mewujudkan keseimbangan dalam sistem pendidikan.
Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah pada tahun lepas sebanyak 59 peratus daripada jumlah keseluruhan kemasukan ke universiti di Malaysia merangkumi wanita dan di Universiti Utara Malaysia (UUM), jurangnya lebih ketara dengan 70 peratus pelajar terdiri wanita dan hanya 30 peratus lelaki.
“Walaupun peningkatan penyertaan wanita dalam pendidikan tinggi amat menggalakkan, kekurangan penyertaan dalam kalangan lelaki memerlukan tindakan sewajarnya,” titah baginda pada sesi kedua Majlis Konvokesyen UUM ke-38 di Dewan Mu’adzam Shah di sini hari ini.
Tengku Sarafudin Badlishah yang juga Pro-Canselor UUM bertitah kejayaan tidak hanya diukur melalui keputusan akademik semata-mata, tetapi juga berdasarkan prinsip graduan apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan atau memikul tanggungjawab baharu.
“Tidak lama lagi, anda akan memasuki fasa kehidupan yang menuntut lebih daripada apa yang pernah anda lalui dalam peperiksaan atau bilik kuliah. Ilmu yang diperoleh di sini akan menjadi asas, namun kemahiran dan nilai yang dibentuk selepas ini akan menentukan siapa diri anda, sebagai individu mahupun anggota masyarakat,” titah baginda.
Baginda turut berpesan supaya graduan senantiasa mengamalkan integriti dengan sentiasa melakukan perkara yang benar walaupun tanpa pemerhatian sesiapa dan nilai itu ialah harta paling berharga dalam kehidupan.
“Dalam dunia yang sarat dengan godaan untuk mengambil jalan pintas dan tekanan yang boleh menggugat prinsip diri, maka integriti andalah yang akan menjadi landasan kukuh.
“Jadilah individu yang boleh dipercayai, rakan sekerja yang menjadi sandaran kerana kejujuran dan keadilan. Reputasi yang dibina dari semasa ke semasa boleh tercemar dalam sekelip mata. Kekallah berpegang pada nilai diri, dan ia bukan sahaja akan membawa kejayaan kepada laluan kerjaya bahkan amat bermakna untuk anda,” titah baginda.
Dalam pada itu, Tengku Sarafudin Badlishah bertitah supaya graduan bersedia menyahut cabaran dan tidak gentar mempelajari perkara baharu dengan terbuka dan berlapang dada walaupun telah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran semasa, namun sebagai lulusan universiti mereka mesti bersedia untuk terus belajar sepanjang hayat.
“Para graduan juga hendaklah sentiasa bersedia untuk menyumbang semula kepada universiti, keluarga, masyarakat dan seterusnya kepada negara. Gunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk berkhidmat kepada masyarakat dan menjadi contoh teladan serta pengaruh positif kepada orang lain,” titah baginda.
Pada sesi kedua pagi ini, sebanyak 879 graduan menerima ijazah masing-masing daripada Raja Muda Kedah termasuk graduan sulung bagi tiga program, iaitu Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat dengan Kepujian; Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian serta Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian.
Tengku Sarafudin Badlishah turut berkenan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi kepada Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang juga antara graduan menerima ijazah pada sesi itu.
-- BERNAMA