EKONOMI

F&N Rancang Perluas Rangkaian Produk Selain Susu Segar

10/11/2025 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) merancang untuk memperluas rangkaian produknya kepada mentega, krim dan yogurt, dengan melihat segmen itu sebagai peluang tambahan selain susu segar, bergantung kepada kejayaan projek F&N AgriValley.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Lim Yew Hoe berkata F&N AgriValley kini berada pada fasa 1.1 dan penekanan diberikan kepada pengeluaran mentega tempatan bagi menggantikan produk import yang digunakan secara meluas dalam industri. 

Selain itu, krim keluaran tempatan yang digunakan secara meluas di hotel juga mampu membantu mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar negara.

Beliau berkata syarikat itu juga sedang berbincang dengan pihak berkepentingan mengenai penggunaan tenaga hijau di ladang tenusu miliknya di Gemas.

"Memandangkan skala operasi kami yang agak besar, langkah ini memerlukan pelaburan yang agak besar kerana kami perlu melabur dalam pemasangan panel solar dan bateri," katanya pada taklimat keputusan kewangan tahun kewangan 2025 F&N, di sini hari ini.

Mengulas pertanyaan media berhubung usaha mempercepat pengurangan pinjaman bagi memberi ruang kepada pelaburan modal utama, beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada media sebaik butiran rundingan dengan pihak berkaitan dimuktamadkan.

Lim berkata bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept 2025, jumlah pinjaman F&N menurun kepada RM592 juta berbanding RM706 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala jumlah hutang keseluruhan berkurangan kepada RM656.2 juta daripada RM760.9 juta.

Mengenai kemajuan F&N AgriValley, beliau berkata projek loji pemprosesan tenusu di hab tenusu integrasi seluas 2,000 ekar (809.37 hektar) itu kini hampir siap dengan pengeluaran komersial susu dijadualkan bermula pada suku pertama tahun kewangan 2026.

Ia sekali gus menandakan fasa baharu dalam perjalanan kumpulan ke arah integrasi huluan industri tenusu.

Terletak di Pasir Besar, ladang berkenaan kini menempatkan lebih 4,000 ekor lembu tenusu yang ditempatkan di kandang moden berhawa dingin bagi mengoptimumkan keselesaan serta produktiviti haiwan.

Pada bulan ini (November), sebanyak 2,500 ekor lembu bunting dari Chile dijadual tiba bagi penambahan ternakan dan mempercepat pengeluaran susu di bawah jenama Magnolia.

Mengulas prospek masa depan, Lim berkata kumpulan kekal komited terhadap pertumbuhan jangka panjang melalui pelaburan strategik bagi memperluas capaian pengguna dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

“Inisiatif strategik seperti F&N AgriValley mencerminkan aspirasi kami untuk menawarkan susu segar bertaraf dunia pada harga berpatutan kepada rakyat Malaysia serta menyumbang kepada matlamat keselamatan makanan negara.

"Walaupun pelaburan ini mungkin memberi kesan sementara kepada margin keuntungan, kami yakin terhadap potensi pulangan sejajar dengan pelan dan sasaran yang ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489155