KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kerjaya Prospek Group Bhd (Kerjaya Prospek) memperoleh dua kontrak pembinaan berjumlah RM197.71 juta melalui dua anak syarikat milik penuhnya.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memaklumkan anak syarikatnya, Permatang Bakti Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM100.22 juta daripada Serta Usaha Sdn Bhd (SUSB) bagi pelaksanaan dan penyiapan kerja-kerja bangunan di Shah Alam, Selangor.
SUSB merupakan anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Property Bhd, dengan penglibatan secara langsung atau tidak langsung oleh beberapa pengarah dan pemegang sahamnya.
Kerjaya Prospek berkata kontrak itu melibatkan pembinaan sebuah pangsapuri perkhidmatan setinggi 39 tingkat dengan 479 unit yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam.
“Kontrak ini akan bermula pada 17 Nov 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 34 bulan daripada tarikh mula dan dijangka menyumbang aliran hasil tambahan bagi kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, dalam satu makluman berasingan, Kerjaya Prospek berkata anak syarikatnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM97.49 juta daripada Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TPD) untuk pembinaan lima jambatan terusan di Pulau Andaman, Pulau Pinang.
Jambatan berkenaan akan menghubungkan Fasa 2A ke 2B dan Fasa 2C di tanah tebus guna Seksyen 2, Bandar Tanjung Pinang.
TPD merupakan anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd (E&O), dengan penglibatan secara langsung atau tidak langsung pengarah dan pemegang saham utama Kerjaya Prospek.
“Kontrak ini akan bermula pada 24 Nov 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 33 bulan daripada tarikh mula serta dijangka menyumbang aliran hasil tambahan bagi kumpulan dalam tempoh empat tahun akan datang,” katanya.
-- BERNAMA