PETALING JAYA, 10 Nov (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis A Decade of Joy anjuran The Parenthood sempena ulang tahun ke-10 taman permainan bertemakan London itu di cawangan utamanya di Sunway Pyramid di sini.
Keberangkatan Al-Sultan Abdullah diiringi oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama dengan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia Al-Sultan Abdullah.
Baginda berkenan menandatangani plak peringatan dan melawat fasiliti berkenaan sebelum menyaksikan persembahan kebudayaan serta moden oleh kanak-kanak termasuk tarian Kuda Kepang oleh Tabika Perpaduan PPR Lembah Subang 2 dan tarian moden oleh Good Samaritan Home.
Majlis itu menghimpunkan 120 kanak-kanak yang berpeluang menikmati malam yang dipenuhi dengan permainan, persembahan dan sumbangan amal sekali gus mencerminkan komitmen berterusan The Parenthood dalam mewujudkan ruang rekreasi keluarga yang selamat dan bermakna.
Sempena sambutan itu, The Parenthood turut menyampaikan sumbangan RM5,000 masing-masing kepada Tabika Perpaduan PPR Lembah Subang 2 dan Good Samaritan Home, serta RM30,000 kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) sebagai sokongan terhadap inisiatif komuniti dan kebajikan.
Pengerusi The Parenthood Datuk V. Radhakrishnan berkata perjalanan syarikat itu melangkaui sekadar menyediakan peralatan permainan dan bilik berwarna-warni sebaliknya telah berkembang daripada satu idea kepada sebuah komuniti yang dipercayai oleh keluarga di seluruh Malaysia, dengan menerima lebih 80,000 pengunjung setiap bulan.
Beliau berkata The Parenthood kini mengendalikan lapan cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dan merancang meluaskan operasinya ke Malaysia Timur dengan pembukaan empat cawangan baharu tahun depan.
“Pada 2015, kami membuka pintu dengan satu janji yang jelas iaitu menyediakan ruang di mana kanak-kanak boleh menyalurkan tenaga mereka, meneroka secara bebas dan bergaul dalam persekitaran yang bersih, selamat serta mesra keluarga.
“Kami mendapat inspirasi daripada taman permainan pada era 70-an, 80-an dan 90-an yang bersifat bebas, berjiwa komuniti serta membentuk peribadi kanak-kanak, dan kami kekalkan semangat itu ketika membina taman permainan tertutup yang lebih selamat dan sesuai dengan keperluan keluarga moden di bandar hari ini,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis itu.
Ditubuhkan pada 2015, The Parenthood mengendalikan taman permainan tertutup bertemakan London di Malaysia, bertujuan menggalakkan kanak-kanak mengurangkan masa di depan skrin dan kembali menikmati permainan aktif dalam persekitaran yang bersih serta mesra keluarga.
Selain kemudahan permainan, The Parenthood turut melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat termasuk menyediakan kelengkapan sekolah dan perabot bilik darjah serta menyumbang RM1,000 bagi setiap kelas di bawah program terpilih untuk menambah baik ruang pembelajaran kanak-kanak.
-- BERNAMA