KUANTAN, 3 Nov (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada semua calon di seluruh Pahang dan Malaysia amnya.
Menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan agar semua calon menduduki peperiksaan dengan tenang, berdisiplin serta yakin dengan kemampuan diri masing-masing setelah berusaha dan membuat persediaan rapi.
Baginda berdua turut mendoakan supaya segala urusan calon dipermudah dan dikurniakan kejayaan yang cemerlang, seterusnya menjadi generasi berilmu yang akan menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.
Sultan Pahang dan Tengku Ampuan juga menyampaikan penghargaan kepada guru, ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberikan sokongan moral dan bimbingan kepada anak-anak sepanjang tempoh pembelajaran mereka.
“Teruskan berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT. Semoga kejayaan menjadi milik kalian semua,” titah baginda berdua menerusi hantaran itu.
Menurut Kementerian Pendidikan, peperiksaan SPM 2025 membabitkan 413,372 calon, bermula hari ini hingga 23 Dis di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.
-- BERNAMA