IPOH, 10 Nov (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak telah mengambil sampel bahan kimia yang didakwa menjadi punca 17 ekor lembu mati di Taman Tronoh Baru, Batu Gajah, selepas haiwan berkenaan dipercayai memakan rumput tercemar pada 5 Nov lepas.
Pengarah JAS Perak Datuk Dr Mohammad Ezani Mat Saleh berkata persampelan itu dilakukan pagi tadi dan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengenal pasti jenis bahan kimia yang dibuang.
“Sampel yang kita ambil adalah daripada bahan (pepejal) yang dibuang (di lokasi), manakala Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak pula ambil sampel daripada bangkai lembu yang mati.
“Ia telah dihantar ke Jabatan Kimia dan keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu bagi menentukan bahan yang dibuang, serta sama ada ia berpunca daripada aktiviti industri tertentu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Semalam, seorang penternak R. Nithiananthan, 38, kerugian kira-kira RM50,000 akibat kejadian itu, selain laporan polis turut dibuat bagi tindakan susulan.
Mohammad Ezani berkata siasatan terperinci akan terus dijalankan dengan kerjasama pihak polis, JPV Perak serta Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.
Mana-mana suspek yang ditangkap berhubung aktiviti tidak bertanggungjawab itu akan didakwa di bawah Seksyen 34(b) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.
“Kita sedang buru suspek yang terlibat kerana ini satu jenayah serius dan membabitkan kematian. Kita juga minta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tampil menyalurkan maklumat kepada pihak JAS Perak,” katanya.
-- BERNAMA